Home Teknologi PertahananSOV Cendana – Lambang keupayaan rekaan tempatan buat pasukan khas Tentera Darat

SOV Cendana – Lambang keupayaan rekaan tempatan buat pasukan khas Tentera Darat

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Setiap kemajuan industri pertahanan di sesebuah negara, keupayaan dan kekuatannya sentiasa berlandaskan strategi yang teliti agar kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa. Keupayaan ketenteraan bukan sahaja bergantung kepada kehandalan anggotanya, tetapi juga turut ditentukan oleh kelengkapan yang menyokong keberkesanan operasi. Dalam konteks ini, kelengkapan yang dihasilkan perlu berkualiti, tahan lasak, serta mampu menjamin kestabilan operasi agar pasukan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.

Kelengkapan senjata dan kenderaan tempur bukan sekadar alat sokongan, sebaliknya menjadi nadi penghubung kekuatan anggota di medan perang. Ia berfungsi sebagai perisai, pelindung, dan penggerak yang mampu menentukan kejayaan sesuatu misi. Malaysia juga tidak terkecuali dalam usaha memperkukuh industri pertahanannya. Sejak beberapa tahun lalu, industri tempatan menunjukkan kemajuan besar dengan keupayaan menghasilkan aset strategik setanding negara lain.

Kejayaan ini terserlah apabila sebahagian besar aset yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini merupakan hasil rekaan dan pengeluaran tempatan. Lebih membanggakan, reka bentuknya diolah mengikut keperluan operasi sebenar anggota tanpa meniru sepenuhnya daripada produk luar.

Cendana Auto – Pemacu inovasi pertahanan

Antara syarikat yang menonjol dalam bidang ini ialah Cendana Auto Sdn Bhd, sebuah pengeluar automotif tempatan yang mula beroperasi pada 2016. Syarikat ini pada awalnya memberi tumpuan kepada kenderaan taktikal sebelum memperluas skop pasarannya kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D). Usaha tersebut, syarikat secara tidak langsung menghasilkan pelbagai model khusus bagi memenuhi keperluan operasi ketenteraan.

Antara produk yang telah dihasilkan termasuklah Fitted For Radio (FFR) dan Mortar Transporter (MT 815) yang digunakan oleh Markas Angkatan Bersama (MAB) dalam misi pengaman MALBATT-UN di Lubnan. Selain itu, syarikat ini turut membangunkan beberapa varian kenderaan taktikal bagi menyokong pelbagai operasi lain.

Lebih istimewa, Cendana Auto juga sebagai pengeluar utama bagi Special Operations Vehicle (SOV) untuk kegunaan pasukan khas Tentera Darat. Kehadiran SOV menjadi simbol keupayaan tempatan menyediakan platform mobiliti taktikal berprestasi tinggi untuk operasi khusus yang menuntut kelincahan, daya tahan serta perlindungan.

SOV – Kenderaan pasukan khas

SOV direka khusus untuk memenuhi keperluan pasukan khas Tentera Darat yang terlibat dalam operasi berisiko tinggi. Ia bukan sekadar kenderaan mobiliti, sebaliknya berfungsi sebagai platform sokongan misi yang boleh diubah suai mengikut keperluan.

Reka bentuknya menitikberatkan aspek kebolehmobilan luar jalan, ketahanan dalam pelbagai keadaan cuaca serta perlindungan kru. Dengan sistem modular, kenderaan ini boleh dipasang dengan pelbagai peralatan sama ada untuk operasi peninjauan, serangan pantas atau pengangkutan anggota di kawasan berisiko tinggi.

SOV Cendana memberikan kelebihan mobiliti tinggi kepada pasukan khas, membolehkan mereka bergerak pantas di kawasan lasak seperti hutan, padang pasir, dan laluan berbukit. Ia turut mampu membawa senjata tambahan, meningkatkan keupayaan anggota dalam menghadapi sebarang ancaman secara lebih efektif.

Dari segi spesifikasi, SOV menggunakan transmisi, casis yang sesuai dengan keperluan operasi komando. Ia dilengkapi dengan senjata seperti mesingan serta pelontar granat automatik. Dengan reka bentuk lebih kompak, kenderaan ini turut memberi kelebihan dari segi kelincahan maneuver serta penyesuaian kedudukan aksesori dan sistem persenjataan.

Reka bentuk tempatan, sentuhan global

Kejayaan SOV berakar daripada kepakaran tempatan yang dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa. Proses rekaan sehingga ke pengeluaran dilakukan sepenuhnya di dalam negara, melibatkan tenaga mahir dari pelbagai institusi kemahiran dan pendidikan teknikal seperti Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Kemahiran MARA serta pusat Technical and Vocational Education and Training (TVET).

Menurut Ketua Pegawai Operasi Cendana Auto, Shahrinoldin Othman, setiap spesifikasi kenderaan adalah hasil rekaan asli anak tempatan. Katanya, rekaan sendiri itu perlu sama dengan idea, meskipun akan terdapat beberapa perubahan yang mengambil masa atas faktor perbezaan rekaan dari pereka apabila setelah dimasukkan ke dalam perisian. Selain itu, Shahrinoldin juga tidak menafikan mengambil contoh daripada luar negara, namun hanya melihat beberapa sudut sahaja.

Beliau menegaskan, bahawa meniru sepenuhnya rekaan daripada luar tidak memberi nilai tambah, sebaliknya keaslian ciptaan tempatan menjadi bukti kemampuan anak muda Malaysia dalam menghasilkan produk bernilai tinggi, walaupun nampak kecil sekadar “pakaikan baju” pada sesuatu produk.

Beliau turut menjelaskan, idea asal perlu melalui pelbagai peringkat penilaian reka bentuk sebelum diterjemahkan ke dalam perisian khusus sebelum ke fasa pengeluaran. Setiap aspek, termasuk perlindungan kru, rangka, serta sistem sokongan dihasilkan dengan teliti agar menepati keperluan operasi sebenar.

Hasil kepakaran anak tempatan

Kejayaan Cendana Auto secara tidak langsung melahirkan ramai tenaga mahir tempatan yang kreatif, berkemahiran dan berbakat dalam menghasilkan model mobiliti taktikal. Pencapaian ini bukan sahaja mengangkat nama syarikat, malah menyumbang kepada perkembangan sektor pertahanan negara.

SOV Cendana bukan sekadar kenderaan, tetapi bukti nyata keupayaan tempatan dalam melahirkan aset strategik yang mampu berdiri setaraf dengan produk antarabangsa. Kejayaan ini memperkukuh keyakinan bahawa industri pertahanan Malaysia berpotensi untuk terus maju dan menjadi pemain penting di peringkat global. -airtimes.my

#Airtimes #SOV #CendanaAuto #ATM #TenteraDarat #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply