STOCKHOLM, 25 OGOS – Saab hari ini mengumumkan bahawa syarikat itu telah menerima tempahan empat pesawat pejuang Gripen E/F untuk Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) selepas menandatangani kontrak dengan Pentadbiran Peralatan Pertahanan Sweden (FMV). Nilai kontrak tersebut adalah kira-kira SEK 5.3 bilion (USD 556 juta / MYR 2.4 bilion) dengan penghantaran dijadualkan berlangsung antara 2025 hingga 2030.
Menurut Saab, kontrak ini merangkumi tiga pesawat Gripen E dan sebuah Gripen F, bersama peralatan sokongan, latihan serta bantuan teknikal.
Selain itu, Saab turut menandatangani perjanjian dengan RTAF untuk melaksanakan pakej offset jangka panjang yang melibatkan pemindahan teknologi pertahanan, kerjasama industri dan pelaburan dalam pelbagai sektor ekonomi Thailand.
“Kami mengalu-alukan Thailand sebagai pelanggan terbaharu Gripen E/F. Thailand sudah lama menjadi pengguna Gripen dan memahami kelebihan yang dibawa pesawat ini kepada Angkatan Tentera Diraja Thailand. Mereka memilih pesawat tempur paling moden di pasaran untuk membangunkan keupayaan strategik generasi baharu secara bebas,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saab, Micael Johansson.
Thailand sebelum ini menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mengoperasikan Gripen selepas menandatangani kontrak pada 2007 untuk enam pesawat Gripen C/D. Perolehan itu diperkukuh pada 2010 dengan tambahan enam pesawat Gripen C/D serta sebuah pesawat amaran awal udara Saab 340 Erieye AEW&C. Semua aset tersebut kini ditempatkan di Wing 7, Surat Thani.
Pada Jun lalu, Tentera Udara Diraja Thailand mengumumkan rancangan jangka panjang untuk memperoleh 12 buah pesawat Gripen E/F secara berfasa bagi menggantikan armada F-16 yang semakin usang. Fasa pertama melibatkan empat buah pesawat dengan anggaran kos 19.5 bilion Baht (USD 597 juta / MYR 2.53 bilion).
Gripen E/F dipilih selepas melalui proses penilaian yang mengambil kira faktor kos operasi, keupayaan teknologi serta potensi pemindahan industri. Pesawat ini dilengkapi dengan radar AESA Raven ES-05, sistem pengesanan inframerah IRST Skyward-G, suite peperangan elektronik AREXIS, kokpit digital moden serta kebolehan mengoperasikan peluru berpandu jarak jauh Meteor dan IRIS-T.
Dengan pelaksanaan kontrak baharu ini, Gripen E/F akan beroperasi bersama skuadron Gripen C/D sedia ada dan dijangka menjadi tunjang utama kekuatan udara Thailand. Langkah ini juga menandakan fasa kedua pemodenan RTAF sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan strategik negara itu dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau.
– airtimes.my
