KUALA LUMPUR, 29 MEI – Malaysia perlu melangkah lebih jauh daripada hanya menjual teknologi dron dengan mengintegrasikan penggunaannya ke dalam sektor utama negara seperti pertanian, pertahanan dan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan Malaysia dapat muncul sebagai sebuah negara berteknologi tinggi yang berupaya menyelesaikan cabaran dunia sebenar.
“Kita perlu mula bertanya, dari menjual dron, bagaimana kita boleh menggunakannya untuk perkara-perkara baharu? Dan seterusnya, bagaimana kita hubungkan dron dengan AI? Bagaimana kita kaitkan dron dengan industri semikonduktor di Malaysia?
“Kita mempunyai industri semikonduktor yang sangat menarik dan canggih, dan pelabur luar amat berminat mengenainya,” katanya dalam ucapan pra-pelancaran (soft launch) DronTech Asia 2025 baru-baru ini.
Menurut beliau, ekosistem teknologi semasa negara mempunyai potensi besar tetapi masih terpisah-pisah antara sektor, sekali gus menghalang impak maksimum inovasi.
“Sangat menarik apabila kita lihat semikonduktor dihubungkan secara menegak dengan perusahaan kecil dan sederhana, tetapi kita belum cukup mengintegrasikan secara mendatar.
“Contohnya, hari ini kita ada ramai rakan dari angkatan tentera. Sebagai bekas Timbalan Menteri Pertahanan, saya amat meminati teknologi pertahanan. Tetapi kita masih belum cukup menghubungkan industri semikonduktor dengan industri pertahanan,” katanya.
Tambah beliau, pengaplikasian teknologi seperti dron dan semikonduktor tidak seharusnya terhad kepada satu sektor sahaja, sebaliknya perlu merentasi pelbagai bidang termasuk pertanian, keselamatan dan penyelesaian bandar pintar.
“Saya minta kita fikirkan bagaimana untuk kaitkan semikonduktor dengan dron, semikonduktor dengan pertanian, dron dengan pertanian, dron dengan pertahanan, dan semikonduktor dengan pertahanan.
“Jika kita mula membuat hubungan secara melintang, kita akan muncul sebagai pemimpin teknologi yang sangat menarik,” jelasnya.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu menjadi sebahagian daripada evolusi teknologi dunia, asalkan ada kesungguhan untuk melihat inovasi sebagai penyelesaian konkrit kepada masalah rakyat.
“Malaysia perlu jadi sebahagian daripada perubahan teknologi ini, supaya kita dapat guna teknologi ini untuk pertanian, untuk pertahanan, dan untuk pelbagai cabaran sebenar dalam kehidupan seharian,” katanya. – airtimes.my
