ASELSAN kini genap berusia 50 tahun. Dalam tempoh setengah abad ini, syarikat elektronik pertahanan utama Turkiye ini telah mengukuhkan kedudukan sebagai antara syarikat terbesar di Eropah dalam bidangnya. Pada usia emasnya ini, ASELSAN mencatatkan pelbagai pencapaian penting yang jelas membuktikan kedudukannya sebagai syarikat teknologi pertahanan yang dominan di pentas global.
Menurut Presiden Ketua Pegawai Eksekutif ASELSAN, Ahmet Akyol, syarikat ini kini menggaji lebih 12,000 pekerja, dengan purata umur pekerjanya sekitar 33 tahun—menunjukkan gabungan unik antara tenaga kerja muda, inovatif dan berkemahiran tinggi. Dengan pendapatan tahunan melebihi 3 bilion dolar AS, ASELSAN berada pada kedudukan ke-42 dalam senarai syarikat pertahanan terbesar dunia. Ia juga dikenal pasti sebagai antara syarikat yang paling pantas berkembang dalam industri pertahanan global.
ASELSAN terkenal dengan portfolio produknya yang luas dalam bidang elektronik pertahanan, termasuk radar, sistem peperangan elektronik, sistem tanpa pemandu (unmanned systems), komunikasi bawah air, serta pertahanan udara.

ASELSAN President and CEO, Ahmet Akyol.
Sehingga kini, lebih 500 jenis produk telah berjaya disampaikan kepada pengguna akhir di seluruh dunia. ASELSAN juga mempunyai pelanggan antarabangsa di 92 buah negara, sekaligus mencerminkan tahap kepercayaan global terhadap produk dan teknologinya.
Ahmet Akyol turut menegaskan bahawa matlamat utama syarikat adalah menjadikan ASELSAN sebagai gergasi teknologi Turkiye yang bertaraf dunia. Dalam merealisasikan matlamat ini, ASELSAN secara aktif mengambil bahagian dalam pameran pertahanan antarabangana, seperti Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) yang baru berlangsung di Langkawi, Malaysia. Penyertaan dalam LIMA membolehkan ASELSAN memperkenalkan produk-produk terkininya kepada pengguna antarabangsa, terutamanya dalam kalangan negara-negara Asia Pasifik.
Kerjasama strategik ASELSAN dengan Malaysia, khususnya melalui cawangannya di Kuala Lumpur, menggambarkan hubungan erat Turkiye-Malaysia dalam bidang teknologi pertahanan. ASELSAN turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan Malaysia dan secara langsung menyumbang kepada industri pertahanan negara ini. Salah satu inovasi yang dibawa ASELSAN ke LIMA ialah sistem Steel Dome, sebuah sistem pertahanan udara bersepadu yang menggunakan teknologi rangkaian 5G dan kecerdasan buatan (AI). Teknologi ini mengintegrasikan radar, sistem peperangan elektronik, serta sistem kawalan dan perintah dalam satu jaringan, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi pertahanan udara negara pengguna.

ASELSAN mempunyai portfolio yang meluas dan memainkan peranan penting dalam pembangunan industri pertahanan Turkiye. Foto: ASELSAN
ASELSAN juga terlibat aktif dalam pembangunan produk-produk maritim seperti sonar frekuensi rendah, sistem bawah air tanpa pemandu, dan radar 4D untuk kapal tentera. Pada masa yang sama, syarikat ini turut menyediakan sistem komunikasi canggih dan telah memeterai beberapa perjanjian strategik dengan rakan tempatan di Malaysia bagi meluaskan lagi kehadirannya dalam pasaran serantau.
Menurut Ahmet Akyol, perkembangan semasa di peringkat global yang memperlihatkan pelbagai konflik telah menjadikan kekuatan industri pertahanan lebih penting daripada sebelumnya. Beliau menjelaskan bahawa kestabilan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kuasa ekonomi dan politik, tetapi turut bergantung kepada penguasaan teknologi pertahanan. Oleh itu, peranan ASELSAN sebagai penyedia teknologi canggih menjadi semakin signifikan.
Melalui usianya yang mencecah 50 tahun ini, ASELSAN bukan sahaja telah membuktikan kemampuannya dalam teknologi pertahanan, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada keamanan dan kestabilan global. Dengan komitmen berterusan terhadap inovasi, syarikat ini jelas berada di landasan tepat untuk kekal relevan sebagai peneraju utama teknologi pertahanan pada masa hadapan. – airtimes.my
