KAFRA, 16 Mac – Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12, telah melaksanakan Program Medical Care Day di Bangunan Perbandaran Kafra, Lubnan.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama pasukan perubatan dari ITALBATT, bertujuan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk setempat yang terkesan akibat konflik.
Menurut pihak MALBATT 850-12, seramai 51 orang penduduk tempatan dari pelbagai lapisan umur hadir bagi memanfaatkan peluang pemeriksaan kesihatan yang meliputi pemeriksaan tekanan darah, paras gula dalam darah, serta nasihat kesihatan.
“Program ini memberi manfaat besar kepada komuniti, terutama mereka yang sukar mendapatkan rawatan asas akibat cabaran ekonomi dan kemusnahan infrastruktur akibat konflik yang lalu, jelas MALBATT 850-12.
Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh, turut hadir bagi memantau pelaksanaan program serta memberi sokongan kepada penduduk tempatan.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengadakan Key Leader Engagement (KLE) bersama Datuk Bandar Kafra, Yousef Bashir, bagi membincangkan langkah-langkah kerjasama masa depan dalam membantu komuniti setempat.
Sebagai tanda sokongan berterusan kepada penduduk Kafra, Kolonel Johan Effendi telah menyampaikan sumbangan 20 kotak makanan dan selimut kepada pihak perbandaran.
Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban mereka yang memerlukan.
Program Medical Care Day dan inisiatif sumbangan ini adalah sebahagian daripada program Civil-Military Cooperation (CIMIC) yang dilaksanakan oleh MALBATT 850-12.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan pasukan pengaman Malaysia dalam membantu proses pemulihan komuniti serta memperkukuh hubungan antara pasukan pengaman dan masyarakat setempat.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #MALBATT #Lubnan #Malaysia #airtimes