BATU FERRINGGI, 27 Feb – Malaysia dan Indonesia terus komited untuk memperkukuh hubungan pertahanan, selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan yang dimeterai pada tahun 2022.
Komitmen itu ditegaskan dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT Leftenan Jeneral (B) Sjafrie Sjamsoeddin, bersempena Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN 2025 di Batu Ferringgi, pada Rabu.
Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), kedua-dua pemimpin membincangkan isu keselamatan serantau dalam konteks ASEAN dan menzahirkan komitmen memperkukuh kerjasama pertahanan yang sedia ada.
“Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan pertahanan sedia ada,” jelas MINDEF dalam hantaran di laman Facebooknya.
Sebagai langkah ke hadapan, Malaysia mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi memastikan pelaksanaan efektif persetujuan dalam MoU tersebut. Indonesia menyambut baik cadangan ini dan tidak mempunyai halangan terhadap pelaksanaannya.
“Selain itu, kedua-dua negara bersetuju bahawa hubungan pertahanan boleh terus diperkukuh melalui mekanisme sedia ada seperti Jawatankuasa Sempadan (Border Committee) serta memfokuskan kepada pemusatan ASEAN,
“Malaysia dan Indonesia juga memberi penekanan terhadap kerjasama dalam industri pertahanan sebagai satu langkah strategik ke arah memperkukuhkan daya saing dan keupayaan pertahanan serantau,” jelas kementerian itu lagi.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #Malaysia #Indonesia #ASEAN