GEORGE TOWN, 26 Feb – ASEAN perlu menekankan pendekatan diplomasi pertahanan dalam menangani isu Laut China Selatan bagi memastikan kestabilan serantau tidak tergugat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun kerjasama maritim pelbagai hala akan diteruskan, Malaysia menekankan setiap negara perlu mematuhi undang-undang antarabangsa dan undang-undang laut.
“Kita memang ada kerjasama maritim pelbagai hala dan itu akan diteruskan. Namun, pada masa yang sama, kita menekankan bahawa setiap negara, sama ada negara anggota ASEAN atau tidak, perlu sentiasa mematuhi undang-undang antarabangsa dan undang-undang laut,
“Terdapat banyak latihan ketenteraan maritim antara negara ASEAN dan juga negara luar ASEAN, tetapi perlu diingat bahawa kita mahu memastikan tiada peningkatan konflik,” katanya selepas sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat), pada Rabu.
Ketika ini, Laut China Selatan kekal sebagai antara wilayah yang paling dipertikaikan di dunia dengan beberapa negara termasuk China, Malaysia, Vietnam, Filipina, dan Brunei mempunyai tuntutan bertindih terhadap kawasan perairan itu.
Menurut Mohamed Khaled, Malaysia sebagai negara maritim yang dikelilingi empat lautan utama iaitu Laut Sulu, Laut Sulawesi, Laut China Selatan, dan Selat Melaka amat menitikberatkan keselamatan perairan, termasuk isu tuntutan bertindih dan sumber di kawasan terbabit.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu konflik di Myanmar pula, Mohamed Khaled berkata, ASEAN berpendapat, penyelesaian krisis di Myanmar bukan melalui pendekatan ketenteraan atau pertahanan, sebaliknya menerusi diplomasi dan rundingan.
Tambahnya, pendekatan diplomasi menjadi fokus utama ketua kerajaan ASEAN dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi konflik berpanjangan di negara itu.
“Saya rasa penyelesaian di Myanmar bukan dengan cara ketenteraan atau melalui pertahanan. Ia adalah diplomasi,” katanya.-airtimes.my
#airtimes #Malaysia #ASEAN #pertahanan #diplomasi #Khaled
