KUALA LUMPUR, 24 Feb – Kerajaan digesa melaksanakan pelarasan pencen bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum Januari 2013, selaras dengan Seksyen 8(187) Akta Angkatan Tentera 1972 dan Peraturan-peraturan Angkatan Tetap 1982.
Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor menegaskan bahawa setiap kali pelarasan gaji dilakukan bagi anggota ATM, pelarasan pencen seharusnya turut dilaksanakan.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa perkara itu tidak berlaku pada tahun 2013 meskipun pelarasan gaji telah dibuat.
“Pada tahun 2013, kerajaan telah melaksanakan pelarasan gaji kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
“Saya sendiri masih dalam perkhidmatan ketika itu dan terlibat dalam proses tersebut. Namun, tiada pelarasan pencen dibuat bagi veteran yang bersara sebelum tarikh itu,” katanya dalam sidang media di luar Parlimen, hari ini.
Menurut beliau, sejak tahun 1980, setiap kali berlaku pelarasan gaji dalam ATM, pelarasan pencen turut dilaksanakan.
Namun, pada tahun 2013, kerajaan hanya memberi kenaikan tahunan sebanyak dua peratus kepada veteran yang bersara sebelum 2013 tanpa pelarasan pencen penuh, menyebabkan jurang perbezaan pencen antara mereka yang bersara sebelum dan selepas 2013 semakin melebar.
“Tahun 2024, kerajaan telah melaksanakan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kepada semua kakitangan dan turut dipanjangkan kepada ATM. Tetapi sebelum melaksanakannya, pelarasan pencen bagi veteran yang bersara sebelum Januari 2013 mesti dilaksanakan terlebih dahulu.
“Jika tidak, pencen mereka akan kekal pada kadar lama, manakala mereka yang bersara selepas 2013 menerima pencen lebih tinggi. Ini menyebabkan jurang perbezaan pencen semakin membesar,” tegasnya.
Pelarasan pencen perlu segera
Khlir turut mendedahkan bahawa pada tahun 2013, terdapat seramai 78,556 veteran yang bersara sebelum tarikh itu, namun jumlah tersebut telah menurun kepada 44,000 pada Jun 2022 akibat faktor usia dan kematian.
“Kalau kerajaan menunggu lima atau sepuluh tahun lagi, angka ini akan terus berkurangan kerana kebanyakan mereka sudah berumur 65 tahun ke atas. Jika kerajaan benar-benar mahu membantu veteran ATM, pelarasan pencen harus dilakukan segera,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa perkhidmatan ATM tidak boleh disamakan dengan perkhidmatan awam kerana tentera tertakluk kepada Akta Angkatan Tentera 1972 dan bukannya sistem pencen awam.
Keputusan mahkamah tidak wajar ditangguh
Dalam pada itu, bekas pegawi kanan Tentera Darat ini juga mempersoalkan tindakan kerajaan yang menunggu keputusan mahkamah berhubung isu pelarasan pencen veteran ATM yang bersara sebelum 2013.
“Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa pencen pesara ATM sebelum 2013 mesti setara dengan mereka yang bersara selepas 2013,
“Namun, mengapa pihak Peguam Negara membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan dan perlu menunggu sehingga Mei untuk keputusan? Dalam tempoh itu, berapa ramai lagi veteran akan meninggal dunia?” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya menyelesaikan isu ini melalui perundingan tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang.
“Saya percaya jika Mahkamah Rayuan berpihak kepada veteran, pihak Peguam Negara akan membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan pula. Tidak kasihan kah kita kepada mereka? Dengan pencen kecil, kos sara hidup yang semakin meningkat, dan masalah kesihatan, mereka semakin terhimpit,
“Malah, ramai dalam kalangan veteran ini pernah berjuang semasa era komunis sebelum tahun 1989. Ada yang cedera, putus tangan, putus kaki, tetapi kini mereka hidup dalam kesusahan,” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan bahawa veteran ATM tidak meminta kenaikan pencen atau gaji baharu, sebaliknya hanya menuntut hak mereka seperti yang termaktub dalam Akta Angkatan Tentera 1972.
“Kenapa kita mahu menafikan hak mereka? Saya harap kerajaan berani untuk membantu golongan ini kerana mereka juga rakyat Malaysia yang telah berkorban demi negara,” tegasnya lagi.-airtimes.my
#pertahanan #veteranATM #pencen #khlir #pelarasan #airtimes