WASHINGTON, 14 OKT – Setiausaha pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd J. Austin III, menyeru Israel untuk memastikan tiada ancaman atau serangan ke atas pasukan keselamatan UNIFIL.
Ini berikutan siri pertempuran di antara Israel-Hezbollah di kawasan sempadan Lubnan yang berhampiran dengan kawasan yang diduduki oleh pasukan pengaman UNIFIL.
Sehingga kini, seramai 5 orang pengaman UNIFIL disahkan cedera dengan salah seorang daripadanya cedera parah akibat bedilan tentera Israel dan juga peluru sesat terhadap ibu pejabat pasukan itu di Naqoura.
Pada Ahad, UNIFIL mengesahkan salah satu fasiliti mereka di Ramyeh telah diceroboh oleh kereta kebal Merkava milik tentera Israel.
Selain itu, anggota pengaman yang berlindung di fasiliti terbabit mengalami masalah kesihatan selepas tentera Israel melepaskan beberapa das tembakan asap di kawasan berhampiran.
UNIFIL turut melaporkan konvoi kritikal UNIFIL di Mers Al Jabal telah dihalang oleh tentera Israel.
Terdahulu, pada 10 Oktober lalu, dunia digemparkan dengan insiden yang melibatkan 2 pengaman UNIFIL dari Tentara Nasional Indonesia (TNI) cedera.