Home Pertahanan dan Keselamatan Hormati mandat, jangan heret UNIFIL ke dalam kancah konflik – Khaled Nordin

Hormati mandat, jangan heret UNIFIL ke dalam kancah konflik – Khaled Nordin

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 14 OKT – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) yang turut melibatkan Malaysian Battalion (MALBATT) 850-11.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, Israel mesti menghormati mandat yang ditetapkan oleh Pasukan Interim PBB dan tidak mengheret UNIFIL ke kancah konflik antara Israel dengan Hezbollah.

“Serangan ke atas anggota UNIFIL adalah serangan terhadap PBB dan masyarakat dunia. Ia adalah perbuatan yang melanggar segala norma undang-undang antarabangsa dan sangat tidak bertamadun,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Air Times melaporkan, UNIFIL mengesahkan salah satu kedudukan mereka telah diceroboh oleh tentera Israel pada 4.30 pagi Ahad (9.30 pagi Ahad waktu Malaysia).

UNIFIL dalam satu kenyataan menjelaskan 2 buah kereta kebal Merkava milik tentera Israel telah memusnahkan pagar utama pangkalan dan menceroboh masuk pangkalan di Ramyah, Selatan Lubnan.

“Walaupun telah memakai topeng pelindung, 15 anggota pasukan pengaman mengalami kesan seperti iritasi kulit dan reaksi gastrointestinal setelah asap masuk ke dalam kem,” jelas UNIFIL dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, UNIFIL juga melaporkan bahawa 5 anggota pengamannya, termasuk dari Tentara Nasional Indonesia (TNI) dan Sri Lanka cedera dalam pertempuran antara Israel dan Hezbollah.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan terus mematuhi sebarang ketetapan dan keputusan yang diputuskan oleh PBB mengenai peranan UNIFIL di Lubnan.

“Kementerian akan berhubung dengan PBB melalui Kementerian Luar Negeri bagi memastikan keselamatan anggota pasukan pengaman Malaysia terus terjamin dan mereka dapat bertugas selaras dengan mandat yang diberikan,” tambah beliau.

Khaled turut menjelaskan, pihaknya akan sentiasa memantau dengan dekat perkembangan terkini di Lubnan dan sebarang tindakan susulan akan dibincangkan dengan UNIFIL dan PBB. -airtimes.my

#airitmes #Malaysia #Lubnan #Malbatt #pertahanan

Leave a Reply