Home Pertahanan dan KeselamatanKampung Angkat Madani: RM2.5 juta diperuntukan naik taraf Kampung Baru Pasak

Kampung Angkat Madani: RM2.5 juta diperuntukan naik taraf Kampung Baru Pasak

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KOTA TINGGI, 15 Jul – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memanfaatkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta daripada Kementerian Kewangan dalam usaha menaik taraf kemudahan di Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi di bawah Program Kampung Angkat MADANI.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak berkata, dengan pelaksanaan program tersebut, sebanyak 152 buah keluarga dan 600 orang isi rumah di kampung berkenaan akan menerima manfaat dalam tahun ini.

Menurutnya, projek berkenaan juga akan dipantau sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan keseluruhan projek berjalan mengikut garis masa yang telah dipersetujui iaitu pada Disember 2024.

“Bagi menyahut Program Kampung Angkat Madani yang diperkenalkan melalui Belanjawan 2024 baru-baru ini, MINDEF telah merangka 10 inisiatif khusus bagi penduduk di Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi, Johor dan menerima peruntukan daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM2.5 Juta bagi memastikan program ini berjaya,

“Melalui inisiatif yang telah digariskan ini, MINDEF menyasarkan peningkatan taraf hidup penduduk desa sekali gus dapat merapatkan jurang perbezaan antara masyarakat desa dan bandar dengan melengkapkan kemudahan asas di kawasan desa yang terpinggir secara holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan tapak ke Kampung Baru Pasak, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Ismail Abu dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ahmad Nazir Mohd Nasir.

Mengulas lanjut, Isham berkata, melalui peruntukan itu, 10 projek dimuktamadkan untuk dilaksana termasuk menaik taraf jalan raya, pemasangan lampu jalan solar sekitar kampung dan pembinaan surau baharu.

Ujarnya, kesemua projek itu dijangka akan siap pada penghujung bulan Oktober dan November hadapan.

“Seperti mana yang saya maklumkan, yang penting adalah impaknya. Impak yang kita berikan seperti lampu jalan, ia terang dan membantu daripada segi keselamatan, perjalanan dan mengurangkan kadar kemalangan,

“Selain itu, usaha naik taraf fasiliti seperti balai raya dan surau. Menambah keselesaan kepada pengguna. Jadi, langkah ini dapat membantu menyemarakkan lagi aktiviti-aktiviti komuniti termasuk sosial dan ekonomi,” jelasnya lagi.-airtimes.

#pertahanan #KampungAngkatMadani #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply