KUALA LUMPUR, 15 Jul – Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral Datuk Khlir Mohd. Nor hari ini berkata, banyak operasi di sempadan negara sebelum ini gagal akibat perbuatan rakyat tempatan.
Bekas Ketua Perisikan, Tentera Darat Malaysia (TDM) itu turut mencadangkan agar Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (MCBA) yang ditubuhkan dilengkapi dengan keperluan perisikan bagi mengelakkan kebocoran maklumat.
“Elemen perisikan ini hendaklah diletakkan terus di bawah Ketua Pengarah MCBA bagi mengelakkan kebocoran maklumat,
“Perlu diingat, banyak kegagalan operasi sebelum ini akibat perbuatan orang kita sendiri. Tidak boleh dinafikan itu. Jadi, unit perisikan itu amat penting bagi memastikan semua operasi di sepanjang sempadan negara dapat dilaksanakan dengan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Agensi Kawalan dan Keselamatan Sempadan 2024 yang dibaca buat kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.
Khlir menegaskan, penubuhan AKSEM ini merupakan model yang terbaik untuk menentukan keselamatan sempadan negara dengan lebih berkesan.
Tambahnya, penubuhan AKSEM yang akan mengambil alih tugas mengawal sempadan ini adalah sangat penting kerana terdapat banyak ancaman keselamatan dan ekonomi berlaku di sempadan Malaysia setiap hari.
“Aktiviti ini berlaku kerana banyak kebocoran berlaku di sempadan sama ada di pintu-pintu masuk ataupun melalui lorong-lorong tikus,
“Akibat daripada aktiviti haram ini, negara kita telah menanggung kerugian yang besar setiap bulan dan keselamatan negara terancam,
“Keadaan ini berlaku kerana sistem keluar masuk yang berada di pintu masuk Malaysia dan kawalan keselamatan banyak kelemahan serta memerlukan sistem kawalan baharu yang lebih berkesan,” ujarnya lagi.
Rang Undang-Undang Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 bagi menubuhkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, pada 9 Julai lalu.
Rang undang-undang itu antara lain menjelaskan mengenai cadangan fungsi serta kuasa MCBA yang berhubungan dengan kawalan dan perlindungan sempadan selain mengadakan peruntukan bagi perkara berkaitan.
Ia juga mencadangkan jika sesuatu kesalahan dilakukan di bawah mana-mana undang-undang bertulis Negeri Sabah atau Sarawak, penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan kesalahan itu akan dilaksanakan pihak berkuasa negeri masing-masing. -airtimes.my
#DewanRakyat #Malaysia #MCBA #keselamatan #airtimes #sempadan