Home Semasa SAREX MALSING: Gandingan H225M dari dua negara

SAREX MALSING: Gandingan H225M dari dua negara

by M.Daim

Baru-baru ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) telah melaksanakan latihan bersama SAREX MALSING 6/24 di kawasan perairan Pulau Tioman.

Operasi menyelamat (Search and Rescue, SAR) merupakan antara perkara yang seringkali dilaksanakan semasa konflik mahupun aman. Operasi sebegini tidak terhad di kawasan daratan sahaja malah di kawasan maritim.

Pun begitu, operasi sebegini lazimnya menggunakan khidmat helikopter.

Helikopter bukan sekadar berperanan sebagai pengangkutan tetapi ia turut menjadi tulang belakang bagi sesuatu angkatan untuk memberikan tindak balas yang pantas. Foto: TUDM

Apa yang menarik mengenai SAREX MALSING 6/24 adalah di mana EC725AP dan H225M telah berganding bahu dalam melaksanakan operasi ini. Walaupun sekadar latihan, aktiviti sebegini adalah penting bagi menimba pengalaman di samping memupuk keupayaan operasi bersama di antara TUDM dan RSAF.

Eksesais ini lazimnya menyaksikan gandingan EC725AP dan AS332M Super Puma. Selepas RSAF telah menerima H225M yang pertama pada Mac 2021, latihan bersama ini menyaksikan penggunaan kedua-dua helikopter yang sama dari dua era berbeza – EC725AP dan H225M.

SAREX MALSING 2021 merupakan kali terakhir melibatkan gandingan EC725AP (H225M) dengan Super Puma. Foto: TUDM

TUDM telah pun mengoperasikan EC725AP semenjak 2012. Pada ketika itu, helikopter tersebut telah dibekalkan oleh Eurocopter Group (kini dikenali sebagai Airbus Helicopters semenjak 2014). Sepanjang pengoperasiannya, EC725AP (yang turut dikenali sebagai H225M) telah banyak menabur bakti kepada negara.

Selain melaksanakan operasi bantuan menyelamat dan penerbangan ihsan, EC725AP telah mencatatkan rekodnya sendiri. Antaranya operasi menyalurkan bantuan semasa banjir besar Kelantan 2014 dan juga Gempa Bumi Kinabalu 2015.

TUDM telah mengoperasikan helikopter EC725AP (H225M) semenjak tahun 2012. Foto: TUDM

Pada Mac lalu, TUDM telah mencatatkan rekod penerbangan 30,000 jam helikopter ini.

Sementara itu, RSAF telah melakukan pembelian H225M pada tahun 2016 bagi menggantikan peranan AS332M Super Puma. Super Puma telah dioperasikan oleh angkatan udara Kota Singa semenjak 1985.

Khidmat helikopter H225M telah mencapai status kapasiti operasi penuh dalam Tentera Udara Singapura pada tahun ini. Foto: RSAF

Tahap Operasi Penuh (Full Operational Capability) H225M RSAF telah diisytiharkan pada 11 April 2024 lalu.

Selain Malaysia dan Singapura, khidmat H225M turut digunakan oleh Tentera Udara Diraja Thailand serta Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU).

Walau apa pun gelarannya, EC725AP mahupun H225M – pengoperasian helikopter oleh kedua-dua angkatan udara negara berjiran secara tidak langsung memberikan cerminan akan peningkatan jumlah pesawat tersebut di rantau ini.

Timbalan Presiden merangkap Ketua Pemasaran Airbus Helicopters, Fabrice Rochereau sebelum ini menyatakan perolehan helikopter ketenteraan serantau akan meningkat dalam masa 10 tahun.

Untuk rekod, sehingga kini sebanyak 2,200 buah helikopter keluaran syarikat Eropah tersebut telah pun beroperasi di rantau ini – sama ada di sektor awam, separa awam mahupun ketenteraan.

Tragedi gempa bumi Gunung Kinabalu pada tahun 2015 menyaksikan peranan helikopter EC725AP/H225M dalam melaksanakan operasi menyelamat di kawasan beraltitud tinggi. Foto: Kementerian Pertahanan Malaysia

H225M merupakan antara helikopter yang dipasarkan di rantau ini oleh Airbus selain H145M.

Pemasaran H225M didorong oleh faktor kematangan dan pembangunan teknologi pada pesawat tersebut. Selain itu, kehadiran ekosistem helikopter tersebut boleh dikatakan ‘matang’ dalam Malaysia.

Ekosistem ini melibatkan sejumlah syarikat tempatan yang memainkan peranan dari segenap sudut bagi memastikan penyelenggaraan dan latihan pengendalian pesawat berjalan lancar.

Helikopter AW139 dioperasikan secara GOCOM selepas tamatnya khidmat Nuri. Foto: Air Times/M Daim

Melihat senario pertahanan Malaysia pula, EC725AP/H225M menjadi kuda utama TUDM dalam mengoperasikan fleet helikopternya. Di samping itu, pasukan lembayung pertahanan udara juga mengoperasikan 4 buah helikopter AW139 secara  ‘Government Operate, Company Own and Maintain’ (GOCOM).

 

Sewaan AW139 sebelum ini dinyatakan sebagai langkah sementara bagi meringankan beban tugas H225M TUDM selepas helikopter S-61 Nuri dibersarakan.

Ketiadaan S-61 sememangnya dirasai oleh umum, baik dari kalangan veteran dan juga rakyat Malaysia. Selain dirindui atas dasar rasa sentimental, kesan ketiadaan Nuri dapat dilihat pada peningkatan tempo operasi penerbangan H225M oleh TUDM.

Tamatnya perkhidmatan S-61 Nuri sememangnya memberikan banyak kesan kepada negara. Foto: AIr Times/M Daim

Pun begitu, keperluan helikopter baharu TUDM merupakan antara fokus yang diberikan oleh pihak Kementerian Pertahanan pada tahun ini.

Sama ada berlaku penambahan H225M atau sebaliknya – itu terpulang kepada keputusan pihak berwajib yang mungkin mempunyai skop pertimbangan yang lebih meluas. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply