Home SemasaGlobal Helikopter terhempas: Malaysia berduka tragedi menimpa Presiden Iran – Anwar Ibrahim

Helikopter terhempas: Malaysia berduka tragedi menimpa Presiden Iran – Anwar Ibrahim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Malaysia berduka dan bersedih di atas malapetaka yang melibatkan Presiden Iran Ebrahim Raisi serta delegasi kepemimpinan Iran, termasuk Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah dan menyatakan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran atas kejadian yang menimpa itu.

“Operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan semalam dan pasukan penyelamat telah mengumumkan bahawa Presiden Raisi, Menteri Luar dan delegasi ditemui maut dalam nahas tersebut,

“Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran dan semoga Allah S.W.T mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Pada Ahad, media melaporkan, helikopter yang membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi terhempas selepas dilaporkan hilang di kawasan Barat Laut negara Teluk itu.

Pihak berkuasa Iran menyatakan operasi mencari dan menyelamat sedang dilaksanakan.

Sementara itu, media Iran yang memetik sumber pasukan menyelamat menyatakan operasi mencari sukar berikutan kabus tebal di kawasan kejadian.

Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Kolivand yang dipetik oleh stesen televisyen kerajaan Iran pada Isnin memaklumkan, tiada mangsa yang selamat ditemui dilokasi kejadian nahas.

Kematian kedua-dua pemimpin Iran itu telah disahkan oleh pihak kerajaan dan media Iran.

Dalam hantaran itu, Anwar turut berkongsi sempat bertemu Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat tahun lalu dan mereka menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.

Menurutnya, Raisi menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutamanya dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.

“Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin,” jelanya lagi.

Ebrahim, 63 tahun telah memegang jawatan sebagai Presiden Iran semenjak tahun 2021.

Beliau bersama Hossein, 60 tahun sebelum itu menghadiri satu majlis rasmi di sempadan Iran-Azerbaijan. Ebrahim telah merasmikan Empangan Qiz-Qalasi yang dilaksanakan secara bersama dengan Azerbaijan. – airtimes.my

#AirTimes #Global #Iran

Related Articles

Leave a Reply