Home Pertahanan dan Keselamatan Keburukan mereka dicanang tapi kebaikan tak diberi perhatian sama – Raja Permaisuri Agong

Keburukan mereka dicanang tapi kebaikan tak diberi perhatian sama – Raja Permaisuri Agong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah mengajak rakyat Malaysia untuk lebih menghargai peranan pasukan keselamatan atas pengorbanan serta jasa mereka kepada negara berbanding mencari kesalahan.

Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Permaisuri Agong bertitah, pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis, tentera (Angkatan Tentera Malaysia) dan bomba sentiasa memastikan negara terkawal agar rakyat dapat hidup dalam keadaan selamat dan aman.

Tambah baginda, antara golongan yang sering dikritik adalah kakitangan polis apabila segala keburukan mereka dicanangkan kepada khalayak umum, namun sisi baik mereka pula tidak mendapat perhatian yang sama.

“Antara golongan yang sering dikritik adalah kakitangan polis. Segala keburukan mereka dicanangkan di khalayak umum, namun kebaikan mereka tidak pula diberi perhatian sama,

“Adakah kita sanggup untuk meronda kawasan sekitar, dengan kesedaran bahawa kita boleh diserang dan dibunuh pada bila-bila masa?” soal baginda dalam hantaran itu.

Baginda seterusnya bertitah, bahawa media sosial juga tidak mencerminkan sisi yang terbaik dalam soal berkenaan.

“Kita memilih untuk merungut tetapi tidak pula kita bersyukur kerana kita bernasib baik dapat hidup dalam sebuah negara yang aman secara amnya, malah tidak terbabit dalam sebarang peperangan,

“Setiap kali melihat seorang tentera, polis, bomba atau mana-mana badan berkaitan, sedarlah bahawa anggota keselamatan ini merupakan lelaki dan wanita yang hidup berjauhan daripada keluarga mereka dan nyawa boleh diancam pada bila-bila masa, tidak kira siang mahu pun malam,

“Ingatlah bahawa kita boleh menikmati ketenangan di rumah bersama keluarga tersayang kerana adanya pihak yang menjaga dan memantau keselamatan serta keamanan di segala pelusuk negara kita, sama ada di tempat-tempat sunyi, mahupun kawasan penuh hiruk pikuk,” titah baginda lagi.

Dalam hantaran yang sama, baginda turut mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said yang gugur dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi Jumaat lalu.

Terdahulu, baginda berkenan hadir ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bagi memberi penghormatan terakhir kepada dua anggota polis berkenaan. -airtimes.my

#PDRM #DaulatTuanku #keselamatan #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply