Home Semasa Dua cedera, pesawat ringan Cessna 172 terhempas di Trolak

Dua cedera, pesawat ringan Cessna 172 terhempas di Trolak

by Zaki Salleh

IPOH, 4 Mei – Sebuah pesawat ringan terhempas semasa melakukan penerbangan di Ladang Getah Upaya Hutan Simpan di dekat Gunung Besout, Sungkai.

Pesawat jenis Cessna 172 dengan nombor pendaftaran 9M-ADA itu milik pusat latihan penerbangan Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd, Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan memaklumkan, dua yang cedera adalah juruterbang lelaki dan pelatih wanita.

Identiti mangsa dikenali sebagai Shahrul Imran  Surea, 26, yang merupakan juruterbang manakala

Ho Jia Lee, 20, adalah juruterbang pelatih.

Pesawat berlepas dari Ipoh ke Tanjung Karang pada pukul 7.59 untuk latihan penerbangan dan berpatah balik ke Ipoh.

Bagaimana pun, pesawat dilaporkan terhempas di lokasi kejadian pada pukul 9.30 pagi.

Kemalangan udara itu menyebabkan juruterbang mengalami kecederaan patah kaki kanan manakala pelatihnya bengkak muka sebelah kanan.

Kedua-dua mangsa berjaya diselamat oleh pekerja ladang yang berasa di tempat kejadian sebelum menghubungi pihak bomba.

Mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan pihak syarikat Layang-Layang turut berada di lokasi kejadian sebaik menerima laporan nahas.

Ini merupakan nahas udara kedua dalam tempoh 11 hari yang berlaku di negeri Perak selepas insiden membabitkan dua helikopter TLDM di Lumut baru-baru ini.

Pada September 2022, seorang juruterbang warga Hong Kong terkorban setelah helikopter jenis EC120B dipandunya terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor.

Helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pada 11.37 pagi untuk penerbangan peribadi dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada pukul 12.37 tengah hari.

Helikopter tersebut dikendalikan oleh Heli Outpost Sdn Bhd.

Sebelum kejadian tersebut, pada 1 Ogos sebuah pesawat latihan jenis Piper PA 28 bernombor pendaftaran 9M-BAA terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, dekat Medan Gopeng, Ipoh.

Mangsa yang maut, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, mengalami kecederaan.

Allahyarham Fajim juga merupakan bekas juruterbang MiG-29N TUDM. – airtimes.my

#AirTimes #Ipoh #Perak #Cessna

Related Articles

Leave a Reply