Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Nahas 2 helikopter: Sambutan Hari TLDM ke-90 akan dipertimbangkan – Khaled

Nahas 2 helikopter: Sambutan Hari TLDM ke-90 akan dipertimbangkan – Khaled

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Apr – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mempertimbangkan semula ketetapan berhubung penganjuran sambutan Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-90 yang dijadual berlangsung Sabtu ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketetapan itu dibuat susulan nahas helikopter terhempas di pangkalan TLDM Lumut, Perak yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya, pagi tadi.

“Itu (penganjuran sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90) saya percaya akan dipertimbangkan kerana ia adalah program yang disusun oleh TLDM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, pihaknya juga akan cuba mendapatkan laporan interim berhubung kejadian itu dengan kadar segera.

“Kita akan tengok laporan interim, kita akan cuba buat seberapa segera dan kemudian akan ada laporan penuh, tetapi semua akan ambil masa,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Air Times melaporkan nahas 2 buah helikopter milik TLDM terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut, pagi tadi.

Menurut TLDM, kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di itu dilaporkan sedang menjalani Latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Berdasarkan laporan, 2 helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec telah berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.03 pagi, pada Selasa.

Bagaimanapun, berlaku pelanggaran di udara sebelum masing-masing terhempas di tangga Stadium Pangkalan TLDM dan berdekatan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Susulan itu, ATM dan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter berkenaan terhempas.-airtimes.my

#pertahanan #TLDM #Fennec #AW139 #Lumut #airtimes

Related Articles

Leave a Reply