KOTA TINGGI, 23 APR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan 2 kapal dan 44 kru di 2 lokasi berbeza di sini, Ahad lepas.
Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama, Nurul Hizam Zakaria berkata penahanan pertama melibatkan sebuah kapal kargo yang berdaftar dari Sierra Leone pada kedudukan 13.5 batu nautika timur Tanjung Penawar, pukul 11 pagi.
Beliau berkata seramai 15 warga Bangladesh dan Indonesia berumur dalam lingkungan 25 hingga 56 tahun turut ditahan.
“Penahanan kedua pula melibatkan sebuah kapal tangki yang berdaftar dari Comoros pada kedudukan 9 batu nautika tenggara, Tanjung Balau yang dikendalikan 29 warga India, Pakistan dan Iran berumur antara 21 hingga 54 tahun.
“Nakhoda kedua-dua kapal bersama 12 kru dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, ” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Nurul Hizam berkata Op Jangkar Haram telah menahan sebanyak 297 kapal sejak dilaksanakan pada 24 Mac 2021, termasuk 34 kapal pada tahun ini.
“Tindakan ini adalah bagi memastikan bahawa semua kapal yg memasuki perairan Malaysia terutamanya perairan Johor menghormati kedaulatan dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya. -BERNAMA
#KotaTinggi #Johor #APMM #Semasa