KUALA LUMPUR, 2 Apr – Seorang lelaki Israel dan pasangan suami isteri warga tempatan yang disyaki membekalkan senjata kepadanya, bakal berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia berikutan kertas siasatan terhadap individu tersebut dibuka mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Sebelum ini ketika Shalom (lelaki Israel) ditangkap pada 27 Mac lalu, siasatan dijalankan mengikut Akta Pasport 1966 kerana dia sebagai warga Israel memasuki negara ini menggunakan pasport kewarganegaraan Perancis. Namun, siasatan kini dijalankan terhadap kesalahan lebih berat, iaitu pemilikan senjata api,
“Begitu juga dengan pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun itu. Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Senjata Api 1971,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Razarudin berkata, mana-mana individu yang didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, boleh dihukum mati.
“Pada masa ini, kita masih menjalankan siasatan secara terperinci ke atas ketiga-tiga mereka,
“Ketika ini, kesemua mereka masih ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenal pasti motif sebenar pemilikan senjata api berkenaan,
“Lelaki warga Israel itu direman hingga 7 April ini, manakala reman terhadap pasangan suami isteri terbabit pula akan berakhir pada 5 April ini,” katanya.
Ujarnya, sebarang proses susulan untuk sambung reman akan dimohon sekiranya pihak polis masih memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan.
Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan seorang lelaki warga Israel berserta senjata api di Kuala Lumpur.
Menurutnya, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Ampang bersama 6 pucuk pistol pelbagai model berserta 200 butir peluru.
Tambahnya, 3 pistol yang dirampas telah diisi dengan peluru.
Turut dijumpai, 2 pasport dimiliki lelaki berkenaan iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.
Melalui soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaan itu.
Sementara itu, pada Sabtu pula, sepasang suami isteri warga tempatan diberkas polis di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor pada Jumaat kerana disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel tersebut.
Polis kemudian menemui sepucuk pistol dalam beg galas dalam sebuah kereta semasa pemeriksaan di kediaman suspek di Kuala Selangor. -airtimes.my
#keselamatan #airtimes #Malaysia #PDRM