Home Semasa BKK Aidilfitri: Penjawat awam terima duit raya RM500

BKK Aidilfitri: Penjawat awam terima duit raya RM500

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Apr – Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak yang akan dibayar pada Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan khas sebanyak RM250 juga akan disalurkan kepada pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.

“Jadi hari ini, bersamaan 21 Ramadan 1445, saya umumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak,

“Sebanyak RM250 BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen, insya-Allah saya sudah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di PUSPANITAPURI, hari ini.

Pada 15 Mac lalu di Ipoh, Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat mengulangi gesaan supaya kerajaan memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara.

Adnan berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan itu sebagaimana dilaksanakan sepanjang 10 tahun lalu.

Insentif itu katanya, bukan sahaja memberi manfaat kepada penjawat awam, malah melegakan kelompok peniaga.-airtimes.my

#semasa #BKK #airtimes #DSAI #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply