Home Semasa Malaysia tolak tawaran anjur Sukan Komanwel 2026

Malaysia tolak tawaran anjur Sukan Komanwel 2026

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan keputusan Kerajaan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Unit Komunikasi Korporat, KBS berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini telah mengambil keputusan tersebut setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

Delegasi daripada CGF telah bertemu Menteri Belia dan Sukan dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua pada 5 Februari 2024.

“Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah 100 juta pound (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar,

“Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenalpasti dalam jangka masa singkat ini,” jelas KBS dalam satu kenyataan.

Tambah KBS, Kerajaan Madani mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026. Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Malaysia ditawarkan menjadi tuan rumah apabila Victoria, Australia mengambil keputusan menarik diri selepas memberikan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta bagi pelanggaran kontrak kerana gagal menganjurkan acara berkenaan yang dijadualkan dari 17 hingga 29 Mac 2026.

Malaysia adalah negara Asia pertama menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998. Pada 2010, sukan empat tahun sekali itu kembali ke rantau ini dan berlangsung di India. -airtimes.my

#semasa #airtimes #Komanwel2026 #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply