KUALA LUMPUR, 9 Feb – Majikan yang memperdaya lebih 700 pekerja asing di Pengerang, Johor, bersetuju membuat pembayaran gaji berjumlah lebih RM1 juta kepada pekerja berkenaan.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JKTSM) menjalankan prosiding pendengaran kes tuntutan buruh melibatkan seramai 733 pekerja asing yang tidak diberi pekerjaan seperti dijanjikan selepas dibawa masuk ke negara ini.
Menurutnya, persetujuan itu dicapai dalam prosiding yang dilaksanakan oleh pegawai dari Jabatan Tenaga Kerja Johor dengan kehadiran majikan dan pekerja serta disaksikan pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Bangladesh.
“Kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama dengan pembayaran gaji berjumlah RM1,035,557.50 kepada pekerja berkenaan,
“KSM menegaskan pekerja yang dibawa masuk dan tidak diberikan pekerjaan masih menjadi tanggungjawab majikan untuk membayar gaji pekerja seperti ditegaskan Menteri Sumber Manusia pada 16 Januari lalu semasa mengulas mengenai kes ini,
“Pihak syarikat juga akan menempatkan pekerja terbabit kepada majikan baharu melalui Proses Pertukaran Majikan (PTM) Khas yang akan dibantu JTKSM,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Pada 16 Januari lalu, JTK Johor dilapor sudah melengkapkan 13 kertas siasatan berhubung isu majikan menipu pekerja asing yang berlaku di Pengerang, Johor.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dilaporkan berkata, kertas siasatan itu membabitkan pelanggaran mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Mengulas lanjut, KSM berkata, kejayaan prosiding ini menjadi satu kes bersejarah yang akan menjadi rujukan dalam kes buruh selepas ini kerana ia melibatkan pekerja asing yang dibawa masuk secara sah tetapi tidak diberikan pekerjaan setiba mereka dalam negara dan diabaikan.
“Majikan yang didapati bersalah akan disenarai hitam oleh pihak berkuasa dan baki kuota pekerja asing akan dibatalkan,
“KSM juga tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar perundangan perburuhan dan akan sentiasa memastikan kebajikan pekerja sentiasa terjamin,” jelas kementerian itu lagi. -airtimes.my
#semasa #Malaysia #bangladesh #KSM #airtimes