Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Kejayaan pentauliahan semula KD SRI SABAH, KD SRI SARAWAK membanggakan – TLDM

Kejayaan pentauliahan semula KD SRI SABAH, KD SRI SARAWAK membanggakan – TLDM

by Nurulhuda

KUANTAN, 19 JAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini menegaskan kejayaan mentauliahkan semula KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK ke dalam armada angkatan laut negara adalah satu kejayaan yang amat membanggakan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh TLDM dalam satu kenyataan.

“Kejayaan membaik pulih kedua-dua kapal berusia melebihi 50 tahun ini amat dibanggakan,

“Inisiatif warga Navy People (TLDM) dan limbungan tempatan iaitu MSET Shipbuilding Corporation Sdn Bhd di Kuala  Terengganu ini membuktikan industri pertahanan maritim tanah air mempunyai keupayaan serta berpotensi untuk lebih maju serta berdaya saing,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Upacara Penamaan dan Pentauliahan KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK telah diadakan di Jeti Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan. Majlis Pentauliahan kedua-dua kapal telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Kedua-dua kapal ini telah menjalani kerja pasang pulih yang melibatkan replating dan repowering oleh MSET Shipbuilding Corporation Sdn Bhd di Kuala Terengganu. Selain itu, pemasangan peralatan lebih moden telah dilakukan pada kedua-dua kapal ini.

Sementara itu, Panglima Tentera Laut menegaskan kemasukan kedua-dua kapal ini ke dalam armada merupakan langkah interim (sementara) menanti aset baharu.

“Kedua-dua kapal tersebut sebelum ini diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada tahun 2006,

“Kapal-kapal ini seterusnya telah diserahkan kembali kepada TLDM pada 10 Jun 2020 sebagai langkah interim sementara menunggu aset baharu,” kata Panglima Tentera Laut dalam ucaptama majlis.

Menurut beliau, inisiatif ini bukanlah sebahagian daripada pelan pembangunan aset jangka panjang Pelan Transformasi 15-to-5.

Pada ketika ini, rancangan perolehan kedua Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship Batch 2, LMSB2) sedang menanti kata putus.

Sumber memaklumkan kepada Air Times bahawa LMSB2 akan melibatkan perolehan 3 buah kapal dari Turkiye. Pada ketika ini, kapal kelas ADA dan C-92 adalah antara calon-calon yang disebut untuk memenuhi keperluan tersebut.

Pun begitu, masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa ianya akan dimuktamadkan kerana kontrak masih belum dimeterai.

Apa yang Air Times dapat lihat, pentauliahan semula KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK adalah langkah jangka pendek bagi memenuhi keperluan semasa TLDM. Air Times sebelum ini pernah mengulas mengenai isu kekurangan kombatan dan juga keperluan aset baharu angkatan laut negara. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TLDM

Related Articles

Leave a Reply