Home Pertahanan dan Keselamatan Jadikan ATM angkatan masa hadapan yang bersepadu, berfokus menjelang tahun 2030

Jadikan ATM angkatan masa hadapan yang bersepadu, berfokus menjelang tahun 2030

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=KZpDHF_3KAw[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 23 OKT – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu menjadi sebuah angkatan masa hadapan yang bersepadu, tangkas dan berfokus menjelang tahun 2030.

Beliau berkata, ia bertujuan mewujudkan sinergi cegah rintang berpadu dalam mempertahankan kedaulatan negara, keutuhan wilayah dan kepentingan Malaysia.

“Negara kita juga berhadapan dengan ancaman bukan tradisional yang hibrid seperti ancaman keganasan, perdagangan manusia, ancaman siber, radikalisme, kegiatan jenayah antarabangsa, pencemaran alam yang memberi impak kepada perubahan iklim serta ancaman keselamatan kesihatan yang tidak terjangka,

“Bagi menangani senario keselamatan semasa dan akan datang, Kertas Putih Pertahanan telah memutuskan agar Malaysia memiliki sebuah angkatan masa hadapan yang bersepadu menjelang tahun 2030,

“Sehubungan itu, ATM telah melancarkan dokumen strategik tertinggi iaitu Strategi Ketenteraan Negara 2.0 pada 26 September 2022 yang lalu,” jelasnya ketika menyampaikan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-22, di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman turut menggariskan 4 falsafah pemerintahan yang akan digunapakai sepanjang kepimpinan beliau bagi memiliki sebuah angkatan masa hadapan. Foto: AirTimes/Muaz

Tambahnya, usaha mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara adalah suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan.

“Dunia hari ini sedang mengalami revolusi yang dramatik dan bergerak pantas menuju ke arah interdependensi global yang dirangsang oleh senario ketidaktentuan keselamatan yang rencam,” ujarnya lagi.

Dalam perintah ulung beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-22 sejak 6 September lalu, Mohamad turut menggariskan 4 falsafah pemerintahan yang akan digunapakai sepanjang kepimpinan beliau bagi memiliki sebuah angkatan masa hadapan.

“Falsafah pemerintahan ini saya zahirkan berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan latihan yang telah saya lalui selama 36 tahun dalam perkhidmatan,

“4 teras tersebut adalah memperkasakan keupayaan dan kesiagaan menuju angkatan masa hadapan, melaksanakan transformasi operasi, latihan dan doktrin; menggilap modal insan angkatan yang positif dan progresif secara holistik dan memperkasakan gagasan bersepadu tentera dan rakyat,” katanya.

Mohamad berkata, 4 falsafah tersebut sangat penting untuk dihayati kerana akan menjadi panduan kepada semua panglima dan pemerintah bagi diterjemahkan dalam setiap pelaksanaan tugas, amanah serta direktif agar ia selari dengan landskap arkitektur pemerintahan beliau.

Bagi menjayakan teras yang digariskan, Mohamad menekankan agar dokumen strategik gerak tindak Angkatan Merentasi Dimensi Keempat iaitu Fourth Dimension Malaysian Armed Forces (4DMAF) diperbaharui dengan kadar segera sejajar dengan reformasi ATM sebagai angkatan masa hadapan.

“Dokumen strategik ini sangat penting kerana ia akan menterjemahkan keupayaan yang digariskan oleh Strategi Ketenteraan Negara dengan lebih terperinci, mudah difahami dan wujud ketersambungan dengan pelan strategi ketiga-tiga cabang perkhidmatan,

“Sehubungan itu, semua warga ATM perlu memacu dan memperkasakan hasrat falsafah pemerintahan ini dengan sebaik mungkin dalam mendaulat watan ini agar ATM kekal relevan dan teguh sebagai tonggak kedaulatan serta benteng pertahanan negara,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Mohamad telah menyaksikan perbarisan tempur statik yang melibatkan seramai 40 pegawai dan 1,159 anggota yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD), Lefetenan Kolonel Mohd Azroi Ariffin Shah.

Di dalam perbarisan tersebut juga Mohamad telah mengambil Tabik Hormat serta pemeriksaan perbarisan menggunakan kenderaan Perisai 8×8 GEMPITA sebelum menyampaikan Perutusan perintah Ulungnya kepada seluruh warga ATM yang hadir.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddein Jantan; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain, Panglima-Panglima Formasi dan para Pegawai Kanan ATM. -airtimes.my

#ATM #pertahanan #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply