Home Pertahanan dan Keselamatan ATM siap sedia atur gerak anggota, aset hadapi musim tengkujuh

ATM siap sedia atur gerak anggota, aset hadapi musim tengkujuh

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 OKT – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia untuk menggerakkan anggota dan asetnya bagi menghadapi situasi banjir akibat cuaca monsun yang dijangka melanda bermula November hingga Disember tahun ini.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memaklumkan, ATM melalui markas-markas formasi di seluruh negara bersedia diaturgerakkan khususnya di kawasan-kawsan berisiko tinggi dan sering dilanda bencana alam akibat fenomena musim tengkujuh.

Menurut MINDEF, pihak ATM sentiasa bersedia melaksanakan tugas sekundernya untuk bersama-sama agensi-agensi awam yang lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan setiap agensi berkaitan menerusi Operasi Murni (OP MURNI).

“Persiapan tersebut merangkumi kekuatan anggota dan aset ATM yang mencukupi serta boleh di gerakkan dalam masa yang singkat dan pada bila-bila masa yang diperlukan,

“Kerjasama juga turut meliputi aspek perancangan dan koordinasi tindakan dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diwujudkan di setiap daerah bagi memastikan segala bentuk bantuan dan operasi berjalan dengan lancar,” jelas MINDEF.

Dalam masa yang sama, MINDEF memaklumkan, ATM terus memberi tumpuan terhadap operasi banjir di kawasan-kawasan terjejas merangkumi 3 fasa utama atur gerak OP MURNI iaitu pra-aturgerak banjir (sebelum), semasa banjir dan pasca banjir (selepas).

“Demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan rakyat, MINDEF dan ATM akan tetap bersama dan sentiasa bersedia menghulurkan khidmat bakti,

“Selain daripada itu, MINDEF turut melaksanakan perancangan khususnya operasi pasca banjir di negeri-negeri terlibat serta akan memaklumkan sebarang perkembangan mengenai sebarang operasi berkaitan dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu lagi.- airtimes.my

#ATM #banjir #OpMurni #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply