KUALA LUMPUR, 9 OKT – Isu berhubung pembinaan Kapal Tempur Pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS) dijangka akan menjadi tumpuan sidang Parlimen yang bermula hari ini.
Mesyuarat KetigaPenggal Kedua Parlimen Kelima Belas yang berlangsung mulai hari ini dijangka akan berakhir pada 30 November 2023.
Selain LCS, isu berkaitan LTAT dan Boustead bakal menjadi tumpuan.
Pada sesi kali ini, usul penerangan berkenaan Kumpulan Boustead menjadi salah satu usul yang dibentangkan di Parlimen.
Perkara ini disenaraikan sebagai usul ketiga di bawah Klausa Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul.
“Penerangan oleh Menteri Pertahanan berkenaan Kumpulan Boustead yang merupakan salah satu anak syarikat di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang diterbitkan oleh Parlimen.
Dalam sidang yang lalu, isu kewangan Boustead dan LTAT timbul ketika sesi khas Dewan Rakyat pada September lalu. Sesi khas yang bermula 11 September hingga 19 September itu memberikan fokus kepada Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Isu LCS, LTAT dan Boustead telah dibangkitkan dalam sesi tersebut dan telah dijawab oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam ucapan penggulungan beliau, isu kewangan yang melanda Boustead akan memberikan implikasi kewangan yang tidak baik kepada LTAT.
“LTAT kalau Boustead ini nanti jatuh muflis, kerana LTAT telah meletakkan 50 lebih peratus dia punya pelaburan di dalam satu basket iaitu di Boustead,
“Ini bukan merupakan suatu perkara yang baik kerana LTAT adalah merupakan dana persaraan. Ia bukan dana atau pun strategic company untuk memegang aset,
“Kalau dana persaraan, ia tidak boleh memegang lebih daripada— paling banyak pun 15 peratus,
“Mesti ada aset kecairan tetapi aset kecairan LTAT sekarang ini tidak sampai 20 peratus. Kalau ada apa-apa berlaku, LTAT akan menjadi masalah,” kata Tok Mat semasa sesi penggulungan KSP RMK-12 pada 18 September lalu.
Beliau menerangkan perkara tersebut kepada Dewan Rakyat selepas diminta memberi penerangan berkenaan rational penjualan pegangan 33 saham berkepentingan Boustead Plant (BPlant) kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).
Menurut beliau, penjualan saham tersebut tidak akan menghilangkan status LTAT sebagai pemegang saham BPlant.
“Daripada segi perspektif LTAT, penjualan separa saham ini perlu dilaksanakan dengan segera kerana ia bertujuan untuk membolehkan masalah aliran tunai dan penyelesaian hutang Boustead dilaksanakan sebelum tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023,
“Ini adalah mustahak bagi mengelakkan daripada Boustead menjadi muflis sekiranya hutang tidak dilangsaikan pada masa yang ditetapkan,
“Kerjasama strategik ini juga berpotensi mewujudkan penambahan nilai yang tinggi kepada LTAT dan Boustead kerana mereka diberikan hak keutamaan untuk membangunkan dua buah ladang seluas 1,800 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih kurang RM8 bilion selepas penstrukturan ini nanti,” katanya.
Pun begitu, penjualan saham tersebut telah batal dan tidak diteruskan. Ia berdasarkan notis yang difailkan oleh BPlant dan KLK kepada Bursa Malaysia pada 4 Oktober lalu.
LTAT dan persoalan lain kepada Menteri Pertahanan
Isu berkenaan LTAT merupakan salah satu daripada 4 soalan yang diajukan kepada Menteri Pertahanan sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman bertanyakan “kedudukan kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi memastikan ia terus komited menjalankan fungsinya sebagai skim simpanan persaraan bekas anggota tentera.”
Pun begitu, soalan oleh wakil rakyat Sik dijangka akan dijawab secara bertulis ataupun pada sesi lain, dengan melihat kelaziman perjalanan Sidang Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, soalan berkenaan Littoral Combat Ship (LCS) turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen.
“Minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah langkah proaktif Kementerian dalam memastikan peruntukan kos siling sebanyak RM11.2 bilion bagi lima buah kapal LCS dapat disiapkan seterusnya diserahkan kepada penggunanya iaitu TLDM memandangkan prospek kejayaan bagi projek ini adalah semakin gelap,” kata Jamaludin Yahya, Ahli Parlimen Pasir Salak dalam soalan nombor 43.
Soalan berkenaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dibawa oleh Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang bertanyakan kepada Menteri Pertahanan sama ada program itu akan dipertimbangkan untuk diaktifkan semula.
Ahli Parlimen Jelebu dalam soalan ke-41 pula bertanyakan “berapa jumlah terkini askar yang ada di
Malaysia dan sejauh manakah kesiapsiagaan tentera ini dalam mempertahankan negara jika berlaku sebarang krisis keselamatan pada masa akan datang.”
Pun begitu, berdasarkan perjalanan Parlimen sebelum ini, Sesi Soal Jawab Lisan akan berjalan dalam masa yang terhad dan lazimnya soalan-soalan tidak dijawab sesi tersebut akan dibawa ke sesi lain atau dijawab secara bertulis.
Soalan berkenaan PLKN pula dijangka akan dijawab pada hari ini.
LCS akan jadi tumpuan sidang kali ini
Isu berkaitan LTAT dan Boustead, isu LCS dijangka akan menjadi tumpuan pada sidang Parlimen pada kali ini.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dijangka akan membentangkan Laporan Kemajuan Projek Pembinaan LCS dalam sesi kali ini. Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada September lalu menyatakan pembentangan LCS adalah bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.
Sementara itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memberi jaminan laporan PAC berhubung perolehan aset TLDM itu akan dibahaskan di Dewan Rakyat.
Isu LCS sudah tentu memberikan bayangan kepada masalah pembinaan kapal New Generation Patrol Vessel (NGPV) atau lebih dikenali kelas KEDAH dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada ketika ini.
Pun begitu, isu LCS telah memberikan kesan negatif dari segi tahap kesiagaan TLDM sehingga angkatan laut negara terpaksa bertahan dengan aset sedia ada.
Walaupun permohonan Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship Batch 2, LMSB2) telah diluluskan, perolehan kapal ini masih belum menemui kata penamat.
Selain daripada itu, bilangan kapal LCS yang akan siap adalah 5 buah berbanding 6 buah dalam perancangan asal.
Pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023) baru-baru ini, Kementerian Pertahanan Malaysia dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) telah meterai perjanjian kontrak tambahan keenam.
Ia dibuat selepas kerajaan pada Januari memutuskan bersetuju untuk meneruskan projek perolehan kapal ini.
Ketika menyampaikan penggulungan KSP RMK-12 pada September lalu, Menteri Pertahanan menyatakan kerja-kerja fizikal pembinaan LCS yang terhenti sejak 2019 dijadualkan bermula pada penghujung September.
Selain daripada itu, tumpuan yang diberikan sebelum ini adalah “pemindahan pemilikan saham BNSSB kepada syarikat milikan Kementerian Kewangan dan rundingan penyambungan tempoh kontrak BNSSB dengan pihak OEM dan vendor.”
“Share sales agreement antara Ocean Sunshine Berhad iaitu milik penuh Menteri Kewangan diperbadankan dengan tiga pemegang saham BNSSB, Perstim Industries Sdn Bhd dan Lembaga LTAT telah ditandatangani pada 18 Ogos 2023,
“Manakala bagi rundingan dengan pembekal peralatan utama iaitu OEM dan vendor, sebanyak 57 kontrak yang dikategorikan dalam critical path telah dirunding dan mencapai persetujuan,” katanya.
Beliau menegaskan kontrak tambahan yang ditandatangani pada 26 Mei lalu menetapkan 6 checkpoint yang perlu dipenuhi oleh BNSSB dan akan dipantau oleh kerajaan.
“Kita akan pantau supaya projek ini akan mengikut threshold ataupun mengikut dipanggil sebagai
threshold line.
“Kita ada hak untuk menamatkan projek ini. Itu kalau tidak ditamatkan ataupun dibuat dalam jangka masa yang telah pun dipersetujui dalam kita punya supplementary agreement yang keenam,” ujar beliau.
Ke manakah hala tuju seterusnya?
Walaupun masih terlalu awal untuk menentukan terdapat titik penamat kepada kepincangan berkaitan Boustead, LTAT dan LCS, tetapi ketiga-tiga perkara ini merupakan dilihat sebagai ‘tiga serangkai’ yang perlu ditangani dengan oleh Kementerian Pertahanan dan juga kerajaan.
Isu LCS sudah tentu memberikan impak kepada negara dari segi kesiagaan dan pertahanan kedaulatannya.
Melihat kepada penerangan Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat pada September lalu, isu kewangan pada Boustead akan memberikan kesan kepada LTAT. Tambahan pula, LTAT merupakan sebuah badan berkanun kerajaan yang menyediakan kemudahan skim simpanan persaraan kepada pegawai dan anggota tentera. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #LCS #Boustead #LTAT