Home Pertahanan dan Keselamatan LCS: Kerajaan beri mandat kepada Boustead untuk teruskan projek – Tok Mat

LCS: Kerajaan beri mandat kepada Boustead untuk teruskan projek – Tok Mat

by Zaki Salleh

LANGKAWI 26 Mei – Kerajaan bersetuju untuk meneruskan projek perolehan kapal Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan Littoral Combat Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bagi tujuan tersebut, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersama Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) telah memeterai perjanjian kontrak tambahan keenam hari ini.

Selaras dengan perkembangan ini, MINDEF, TLDM dan BNSSB akan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam melangkah ke hadapan memastikan projek LCS berjaya disempurnakan.

Perolehan ini adalah penting dalam meningkatkan keupayaan armada selaras dengan Pelan Transformasi 15to5 TLDM bagi memelihara kedaulatan perairan negara.

Pelaksanaan projek LCS ini akan dipantau melalui Project Monitoring Committee (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Pada masa sama laporan dan pembentangan secara berjadual kepada Jemaah Menteri.

Majlis menandatangani perjanjian tambahan ini telah disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan; timbalannya, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Turut hadir Panglima Tentera Laut; Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.

Ketua Setiausaha, Kementerian Pertahanan; Dato’ Sri Muez Abd Aziz mewakili kerajaan bagi menandatangani dokumen tersebut  manakala Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Pengerusi BNSSB; Dato’ Ahmad Nazim Abd Rahman mewakili BNSSB.

Pada sidang akhbar selepas itu, Mohamad menegaskan bahawa kerajaan komited untuk memastikan lima kapal LCS ini disiapkan.

“Kita meletakkan sasaran untuk pembinaan kapal pertama siap pada penghujung tahun hadapan dan diserahkan kepada TLDM pada 2026 selepas melepasi ujian di laut.

“Kapal pertama tiada masalah kerana komponen penting telah ada seperti enjin, gearbox (komponen jentera) dan propeller.

“Untuk baki kapal seterusnya kita rasa tidak ada masalah kerana sebahagian komponen kapal telah siap cuma perlu disambung semula.

Kerajaan pada Januari lalu memutuskan projek LCS diteruskan sebagai sebahagian daripada pengukuhan pertahanan negara dan tentera laut.

Media sebelum ini melaporkan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan dikeluarkan pada 4 Ogos lalu itu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply