SEOUL, 9 OKT – Jet pejuang keluaran Korea Aerospace Industries (KAI), FA-50 telah mencatatkan rekod penerbangan selama 100 ribu jam tanpa sebarang kemalangan.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Tentera Udara Republik Korea Selatan (ROKAF).
Menurutnya, rekod tersebut merupakan satu pencapaian bersejarah untuk jet pejuang yang dihasilkan oleh industri pertahanan negara itu.
“Jumlah jarak penerbangan secara keseluruhan oleh 60 buah FA-50 ROKAF mencecah 55 juta kilometer dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
FA-50 merupakan jet pejuang yang dibangunkan dari pesawat latihan T-50 oleh KAI. Pembangunan jet pejuang itu turut mendapat bantuan oleh syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.
Jet pejuang ini telah dioperasikan oleh Filipina (FA-50PH) dan Poland (FA-50GF serta FA-50PL).
Pada Februari lalu, kerajaan Malaysia telah memilih untuk membeli 18 buah FA-50 Block 20 dari KAI bagi memenuhi keperluan FLIT/LCA pelan strategik CAP 2055 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
CAP55 menggariskan perolehan 36 buah pesawat FLIT/LCA bagi menggantikan peranan Aermacchi MB-339, MiG-29 dan Hawk Mk 108/208. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #KoreaSelatan #KAI #FA50