Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: USS PEARL HARBOR tiba di Kuantan, laksana latihan misi bantuan bencana di Malaysia

#Pertahanan: USS PEARL HARBOR tiba di Kuantan, laksana latihan misi bantuan bencana di Malaysia

by M.Daim

KUANTAN, 6 SEPT – Kapal LHD Tentera Laut Amerika Syarikat, USS PEARL HARBOR telah selamat tiba di Kuantan .

Menurut Markas Angkatan Bersama (Mk AB) di akaun media sosial rasminya, kehadiran kapal tersebut adalah bagi melaksanakan Eksesais Pacific Partnership 2023 (EPP 23).

“Kapal USS Pearl Harbour dari Amerika Syarikat selamat merapat (long side) di Pelabuhan Kuantan New Deep Water Terminal (NDWT) pada jam 5.45 petang 5 Sep 2023,” katanya.

Latihan ini merupakan latihan memberikan fokus kepada Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) terbesar dirantau Indo-Pacific.

Kapal LHD USS PEARL HARBOR tiba Pelabuhan Kuantan New Deep Water Terminal (NDWT) pada 5 September. Kapal ini membawa peserta Eksesais Pacific Partnership 2023 yang akan berlangsung di Kuantan. Foto: Markas Angkatan Bersama

Sementara itu, pihak Komander Kumpulan Logistik Pasifik Barat (Commander, Logistics Group Western Pacific – COMLOG WESTPAC) dalam satu kenyataan berkata, latihan ini membolehkan para peserta untuk berganding bahu dalam mempertingkatkan keupayaan dalam mengurus bencana.

“Ia turut mempertingkatkan persahabatan dengan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Jelasnya, EPP 23 yang berlangsung di Kuantan akan memberikan fokus kepada pertukaran kepakaran dalam bidang perubatan, pendidikan komuniti dan pembangunan beberapa buah bangunan sekolah.

“Selain itu, latihan ini akan menyentuh perkongsian pengetahuan dan latihan HADR,” katanya.

Pada masa yang sama, kumpulan Pancaragam U.S Pacific Fleet akan mengadakan persembahan.

Majlis pembukaan Eks Pacific Partnership 2023 telah diadakan pada 5 Sept 2023. Tahun ini merupakan edisi ke-18 bagi eksesais tersebut diadakan di rantau Indo-Pasifik. Foto: Commander, Logistics Group Western Pacific

Malaysia merupakan negara ketiga destinasi EPP 23 selepas Vietnam dan Filipina. Kali terakhir eksesais ini diadakan adalah pada tahun 2019, di Kuching, Sarawak.

EPP telah dilaksanakan untuk hampir 18 tahun dan ia merupakan latihan HADR terbesar di rantau Indo-Pasifik. Latihan ini bertujuan untuk mempertingkatkan daya saling operasi dan keupayaan dalam menghadapi bencana di peringkat serantau.

Latihan pada tahun ini melibatkan 1500 anggota dari Australia, Kanada, Chile, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Pacific Partnership menggambarkan semangat dan erti persahabatan,

“Kami teruja dengan prospek kumpulan pelbagai negara yang akan capai melalui kerjasama dengan rakan dari Malaysia,” kata Timbalan Ketua Komander Misi, Royal Navy Captain Joseph Dransfield.

U.S Navy Captain Claudine Caluori, Komander EPP 23 semasa majlis pembukaan eksesais.
Foto: Commander, Logistics Group Western Pacific

Sementara itu, Komander Misi Pacific Partnership, U.S. Navy Capt. Claudine Caluori menyatakan misi di Malaysia memberi faedah kepada keselamatan dan kesejahteraan semua negara di rantau Asia Pasifik termasuk Amerika Syarikat.

“EPP memperkembangkan kapasiti kolektif dalam tindak balas terhadap bencana dan situasi kemanusiaan lain yang boleh memberi kesan serantau dan global,” katanya.

EPP 23 dijangka akan meneruskan misi mereka di beberapa lokasi lain di Asia Tenggara dan kawasan kepulauan di selatan Lautan Pasifik. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply