Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Bidang sukan wadah rapatkan hubungan ATM dengan orang awam

#Pertahanan: Bidang sukan wadah rapatkan hubungan ATM dengan orang awam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Bidang sukan merupakan wadah penting dalam merapatkan hubungan antara warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan masyarakat awam.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menjelaskan, bidang sukan membolehkan orang awam mengenali organisasi ATM dengan lebih baik.

“Amnya, kita ingin menemukan titik pertemuan yang membolehkan orang awam lebih memahami organisasi keramat ini (ATM)… untuk kita menggandakan kepercayaan pemegang taruh terhadap ATM sekali gus membolehkan hasrat ‘Angkatan Masa Hadapan’ dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Malam Anugerah Sukan ATM 2023, di Wisma Perwira malam tadi seperti yang dilaporkan Bernama.

Mengulas mengenai pencapaian dalam bidang sukan, Affendi berharap kejayaan yang dikecapi atlet ATM selama ini diteruskan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Affendi menyampaikan anugerah kepada Pegawai Waran II Billage Anak Nakang daripada perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM) sebagai Olahragawan ATM 2022 selepas meraih pingat gangsa di Kejohanan Pencak Silat Kejuaraan Dunia ke-19.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kiri) menyampaikan anugerah Olahragawan 2022 kepada Pegawai Waran 2 Billage Anak Nakang pada Majlis Malam Anugerah Sukan ATM 2023 di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, malam tadi. Foto: MK ATM

Manakala, Olahragawati ATM 2022 dianugerahkan kepada kepada Laskar Kelas 1 TNL Savinder Kaur a/p Jogindr Singh dari perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu pemenang pingat emas di Kejohanan Olahraga Asia .

Dalam majlis yang sama, Jurulatih Olahraga iaitu Flait Sarjan Tiruvatiran a/l Vedivelu telah dinobatkan sebagai Jurulatih Sukan Terbaik Tahun 2022 setelah berjaya membawa sukan olahraga ATM di peringkat peringkat Kejohanan Olahraga Kebangsaan selama 10 tahun berturut-turut.

Sementara itu, TLDM pula telah dinobatkan sebagai Johan Antara Perkhidmatan bagi tahun 2022 setelah mengekalkan kejuaraan selama 13 tahun berturut-turut dalam Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM merangkap Yang DiPertua Majlis Sukan Angkatan Tentera, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply