Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Komando Malaysia dan Amerika Syarikat laksana latihan tempur 21 hari

#Pertahanan: Komando Malaysia dan Amerika Syarikat laksana latihan tempur 21 hari

by M.Daim

MERSING, 27 JUN –Grup Gerak Khas (GGK) dan pasukan khusus tentera Amerika Syarikat (U.S SOF) telah selesai melaksanakan latihan bersama selama 21 hari di Johor.

Eksesais Balance Mint yang diadakan semenjak awal Jun lalu melibatkan beberapa latihan  yang merangkumi operasi pasukan khusus.

Antara latihan yang dilaksanakan adalah operasi hutan, pergunungan, tinjauan, operasi amfibi dan kombat taktikal.

Majlis penutup Eks Balance Mint telah disempurnakan oleh  Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Shuhaimi Mat Wajab.

Dalam ucapannya, Ketua Staf Am 21 GGK menyatakan latihan bersama ini akan memberikan impak tersendiri kepada kedua-dua pihak.

Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Shuhaimi Mat Wajab menyampaikan ucapan penutup Eks Balance Mint di Mersing, baru-baru ini. Foto: M Daim

“Walaupun mempunyai perbezaan dari segi prosedur, taktik, teknik dan prosedur – saya pecaya kedua-dua pasukan mampu berkerjasama melalui perbincangan serta latihan bersama,

“Saya percaya, para peserta berjaya mengatasi cabaran dan halangan serta membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil jika kedua-dua pasukan khusus bergabung,” katanya.

Beliau menambah, GGK dan US SOF masing-masing telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman sepanjang Eks Balance Mint diadakan.

“Saya berharap latihan bersama ini akan memberikan pengalaman yang baik disamping memupuk hubungan baik antara kedua-dua pasukan,

“Saya juga berharap hubungan baik ini akan berterusan dan berpanjangan di antara kedua-dua negara,

“Ini akan memberikan faedah dan kelebihan tersendiri sekiranya terdapat operasi di masa hadapan,” ujar beliau.

Eks Balance Mint merupakan antara platform terbaik pupuk kerjasama dan hubungan baik antara Malaysia-Amerika Syarikat. Foto: Azrin

Jelas Shuhaimi, latihan sebegini memberikan turut memupuk hubungan dua hala serta daya saling operasi (interoperability) antara kedua-dua pasukan khusus. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply