Home Semasa Tuntutan Sulu sama sekali tidak berasas – Perdana Menteri

Tuntutan Sulu sama sekali tidak berasas – Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap pihak yang membuat tuntutan, penimbang tara, peguam serta pihak-pihak lain yang berkaitan Kerajaan Sulu di bawah seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan, bahawa apa-apa tindakan yang diambil adalah berasaskan undang-undang dan tiada sebarang penindasan terhadap mana-mana pihak.

Beliau juga menegaskan, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang memberikan sokongan, bantuan secara langsung dan tidak langsung serta bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan ke atas Sabah seperti yang didalangi Kumpulan Sulu.

“Malaysia akan terus memastikan naratif yang sahih disebarkan kepada semua orang termasuk komuniti antarabangsa melalui laman sesawang rasmi kerajaan dan platform tertentu,

“Kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam bertindak secara proaktif bagi menamatkan isu tuntutan ini selain memastikan kepentingan Malaysia serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya pada sesi penerangan status terkini tuntutan dari lapan warga Filipina yang mendakwa waris Sultan Sulu di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan, kerajaan akan terus berjuang melindungi, memelihara kepentingan, kedaulatan Malaysia dalam isu tuntutan Sulu.

“Saya menyeru rakyat Malaysia sekalian berganding bahu dalam usaha Kerajaan MADANI bagi menamatkan, dengan izin, once and for all, tuntutan yang sama sekali tidak berasas,” tegasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply