Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF rancang adakan Karnival Usahawan veteran ATM perluas jaringan perniagaan

MINDEF rancang adakan Karnival Usahawan veteran ATM perluas jaringan perniagaan

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=np87xl8Ugck[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) merancang untuk mengadakan Karnival Usahawan veteran ATM bagi membantu mengembangkan peluang perniagaan dan rangkaian golongan itu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan karnival tersebut itu dirancang diadakan pada tahun ini dengan penglibatan dan sokongan daripada beberapa agensi kerajaan serta badan korporat.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga terus menyusun strategi dalam menjalankan Inisiatif Program Kerjaya Kedua kepada veteran ATM dalam meningkatkan sosioekonomi mereka melalui kolaborasi dengan sektor swasta dan kerajaan.

Antara inisiatif terkini termasuklah kolaborasi bersama Jabatan perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Beliau berkata, tinjauan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT) juga mendapati bahawa hampir 83 peratus (%) veteran ATM berhasrat menjalankan perniagaan, sama ada secara sepenuh masa, kecil-kecilan atau bekerja sendiri.

“Manakala, hanya 17 peratus lagi berminat bekerja dengan majikan,” katanya ketika menjawab soalan dari Ahli parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor yang meminta menyatakan apa perancangan MINDEF di dalam menentukan veteran ATM mendapat kerjaya kedua dan berapa bilangan veteran ATM yang masih mengganggur.

Menurutnya, kajian yang sama turut dilakukan semasa dan selepas anggota menjalani latihan bagi mengenalpasti konsistensi kecenderungan atau minat mereka terhadap kerjaya yang dipilih.

“Hasil tinjauan ini membolehkan PERHEBAT bertindak sebagai pemudahcara untuk memadankan anggota dengan majikan dan agensi penyedia insentif keusahawanan,

“Sehingga kini, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah melalui program penempatan pekerjaan dan keusahawanan menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta; contohnya dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn Bhd; Majlis Amanah Rakyat (MARA); Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Pertanian di seluruh Malaysia,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, PERHEBAT juga membimbing dan memantau kerjaya kedua veteran ATM sehingga tempoh 5 tahun selepas anggota menamatkan perkhidmatan.

“Veteran dibimbing melalui pelbagai kaedah seperti khidmat nasihat, coaching, mentoring serta jaringan dengan pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta,

“Pemantauan juga dilakukan bagi mengenalpasti jenis kemahiran, bidang baharu dan bimbingan yang diperlukan oleh veteran,

“Maka, program reskilling dan upskilling dapat dijalankan bagi menepati keperluan kumpulan sasar,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply