BERBANDING pekerjaan di darat, cabaran membelah samudera di lautan terutama bagi nelayan tentunya lebih menggerunkan.
Dalam kedinginan pagi, nelayan sudah bertebaran di lautan keluar mencari rezeki dan pada musim tertentu lain pula risiko ditanggung.
Tidak hanya berdepan kesukaran ketika cuaca buruk serta cuaca yang tidak menentu, malah nelayan turut berdepan pelbagai ancaman keselamatan di tengah laut yang sukar dijangka.
Antara ancaman mereka termasuk kerosakan bot, dihentam angin kencang, ombak, tergelincir jatuh ke laut, insiden kemalangan membabitkan pelanggaran dengan vesel lain termasuk berdepan jenayah rentas sempadan.
Dikejar bot tekong bawa PATI
Pengalaman tersebut turut dikongsikan Wak Tam (bukan nama sebenar) yang meraih rezeki daripada hasil laut sepenuh masa.
Beliau menceritakan detik-detik cemas komuniti nelayan ketika bertembung dengan tekong laut semasa sedang mencari sumber pendapatan harian.
“Ada satu hari, kawan keluar ke laut kena kejar dengan bot tekong. Dia (tekong) ugut biar kita (nelayan) lari ke tepi kerana dia hendak ambil PATI balik setelah hantar PATI masuk,
“Dia nak ambil PATI balik. Kebetulan mereka guna laluan yang biasa nelayan guna, jadi nelayan kena kejar dengan bot mereka,
“Ibarat dia ugut supaya kita lari, senang dia buat kerja,” jelasnya membuka cerita kepada Air Times.
Menurutnya, kehadiran bot-bot yang membawa PATI berkenaan telah menimbulkan kerisauan terhadap mereka untuk menjalankan aktiviti harian di laut.
“Apabila malam, kawan saya cakap dia takut. Dia anggap orang itu perompak dan macam-macam dia fikir,
“Sebab itu dia terpaksa lari. Bila sudah lari sampai ke tepi, orang (tekong) itu pun ambil PATI yang nak balik,
“Kita takut sebab kawan cakap bot tekong mempunyai enjin besar. Tekong bot gertak supaya kita takut dan lari biar senang mereka masuk dan ambil PATI, tidak sampai 10 minit dah selesai,” jelasnya lagi.
Tekong ubah modus operandi
Tambah Wak Tam, sejak kebelakangan ini, tekong telah mengubah modus operandi mereka dengan membawa masuk PATI pada awal pagi berbanding waktu kebiasaan iaitu malam atau tengah malam.
“Kalau awal-awal dulu, mereka selalu bawa masuk waktu lepas magrib atau tengah malam. Tapi sejak kebelakangan ini, mana-mana lokasi yang pakcik dengar mereka masuk waktu subuh, lebih kurang pukul 6 pagi,
“Memang sangat takut. Dulu orang cakap boleh keluar gelap, tetapi sekarang, hendak keluar gelap, hati pun rasa takut. Kena tunggu cerah baru boleh keluar,
“Kebiasaan pukul 6 pagi sudah ada di laut. Sekarang, pukul 6 masih sembang-sembang dan dekat pukul 7 barulah keluar ke laut,” ujar bapa kepada 3 cahaya mata ini.
Tambah anggota operasi
Mengulas lanjut, Wak Tam memohon agar pihak berkuasa menambah bilangan anggota menjelang musim perayaan kerana beliau berpendapat, PATI akan pulang ke kampung halaman mereka untuk menyambut Hari Raya.
“Pada padangan dan pengalaman pakcik, pada bulan puasa ini kena jaga lebih ketat. Kalau dulu kawasan yang dijaga oleh 5 orang, kena buat penambahan 10 hingga 20 orang,
“Pakcik memang yakin, walau macam mana sekalipun, musim raya mereka akan balik. Kalau bulan puasa, PATI masuk memang kurang. Tapi kalau PATI balik, memang akan banyak,” ujarnya.
Sehubungan itu, Wak Tam berkata, pihak berkuasa perlu lebih tegas terhadap penjenayah tersebut untuk mengekang kemasukan PATI ke negara ini.
“Pihak berkuasa perlu lebih tegas. Bila PATI datang, tangkap PATI. Datang tekong darat, tangkap tekong darat. Datang tekong laut, tangkap tekong laut,
“Cerita sebenarnya ada 2 orang je dalang. Kalau tiada agen dari kalangan kita, mereka sukar untuk mendapatkan laluan ke sini,
“Mereka boleh dianggap sebagai pengkhianat negara. Kerja yang mereka buat ini (bersekongkol dengan tekong) diibaratkan membunuh semua orang,
“Apabila mereka terima duit beribu-ribu, mereka tidak berfikir tentang keselamatan nyawa orang yang berada di dalam bot tersebut,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, Wak Tam turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan penguatkuasaan yang telah menjaga keselamatan pantai dan komuniti berkenaan yang dikatakan seolah-olah terancam akibat daripada lambakan kemasukan PATI tersebut. -airtimes.my