KUALA LUMPUR, 4 April – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan hari ini menegaskan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara di Laut China Selatan perlu dipertahankan.
“Berpuluh-puluh kali perairan kita telah dicerobohi dan kita tidak boleh berdiam diri, melihat saja bahawa perairan negara kita dicerobohi,
“Ada suatu kuasa yang sedang meletakkan aset ketenteraan sepanjang masa di sana,” katanya di Dewan Negara.
Beliau menambah, perairan negara telah banyak kali dicerobohi dan Malaysia perlu mempertahankan kedaulatan perairannya selaras dengan United Nations Convention on the Law of the Sea, UNCLOS 1982.
Tambahnya, kawasan tersebut tidak boleh disebut sebagai kawasan tuntutan bertindih kerana ia melibatkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia yang mengikut lunas undang-undang antarabangsa.

Menteri Pertahanan ketika menjawab soalan di Dewan Negara.
“Kita tak boleh mengatakan Laut China Selatan ini kawasan bertindih. Itu salah,
“Laut China Selatan ini adalah laut yang mana kita telah pun buat sebagai ZEE negara,” tegasnya.
Pada masa yang sama, Tok Mat menyatakan Malaysia sedang memperkasakan aset pertahanan.
“Kalau orang letak kapal, kita tak kan nak letak perahu. Jika orang letak kapal, kita perlu berbuat perkara yang sama,” kata Menteri Pertahanan.
Tambahnya, usaha sedemikian bukan bertujuan untuk melancarkan peperangan tetapi sebaliknya untuk memastikan negara Malaysia disegani. – airtimes.my