Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot nelayan cuba seludup 8,000 liter diesel

APMM tahan bot nelayan cuba seludup 8,000 liter diesel

by Nurulhuda

KUALA PERLIS, 25 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Zon Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot nelayan Kelas C kerana cuba menyeludup minyak diesel secara haram pada sekitar jam 5.23 petang semalam di perairan Kuala Perlis.

Pengarah Zon APMM Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, penahanan ini dibuat adalah hasil maklumat risikan dan intipan yang dilakukan oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) dalam beberapa minggu lalu.

Menurutnya, bot nelayan Kelas C itu ditahan pada kedudukan 2.3 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis ketika bot ronda APMM dalam operasi rutin OP AMAN.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, bot tersebut dikendalikan oleh tekong dan 3 awak – awak terdiri daripada 2 warga tempatan dan 2 warga Thailand yang berumur dalam lingkungan 39 hingga 46 tahun,

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu telah diubahsuai dengan menambah ruang tangki minyak yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,

“Anggaran nilai minyak diesel yang dirampas adalah sebanyak 8,000 liter dengan nilai RM16,000 menjadikan jumlah nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin, dan minyak diesel adalah menjadi RM216,000,” jelasnya dalam kenyatan pada Jumaat.

Mohd Hashim berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubahsuai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen.

Bot itu telah diubahsuai dengan menambah ruang tangki minyak yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi dan Akta SKMM 1988, Seksyen 239 kerana penggunaan dan pemilikan peranti komunikasi yang tidak mengikut piawaian.

Tambahnya, bot bersama semua kru serta hasil tangkapan dibawa masuk ke jeti Zon APMM Kuala Perlis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan orang ramai terutamanya komuniti maritim untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti jenayah serta sebarang pelanggaran undang-undang Persekutuan bagi membanteras penyeludupan minyak diesel bersubsidi seperti ini.

“Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon APMM Kuala Perlis 04-9851072 atau 04-9851162 untuk maklum balas segera,” ujarnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply