Home Pertahanan dan Keselamatan Kebijaksanaan mantan pemimpin tertinggi ATM pemangkin hadapi cabaran masa kini

Kebijaksanaan mantan pemimpin tertinggi ATM pemangkin hadapi cabaran masa kini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Dalam meniti usia yang ke-90 pada tahun ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus progresif berevolusi bagi memastikan ianya sentiasa relevan untuk mendepani cabaran lanskap keselamatan pada masa kini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, ATM akan terus releven dalam mendepani persekitaran ancaman hibrid, sekaligus menjadikannya satu ketumbukan yang semakin kompleks dan tidak berketentuan.

“Hasil kebijaksanaan kepimpinan pemimpin-pemimpin terdahulu telah membawa kepada penerbitan dokumen Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 bagi menjelaskan perancangan strategi ketenteraan secara holistik dan inklusif agar angkatan ini mendapat kelebihan strategik dalam apa jua keadaan,

“Seluruh warga ATM yang masih berkhidmat merasa amat bertuah dan berterima kasih kepada kebijaksanaan kepimpinan Tun serta Tan Sri-Tan Sri sekalian,

“Wawasan yang telah dihamparkan bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh ATM, malah, turut membolehkan rakyat dan negara menikmati kesejahteraan secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Meraikan Mantan Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan Mantan Panglima Perkhidmatan sempena Hari ATM Ke-89 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada Isnin.

Mengulas lanjut, Affendi berharap agar mantan-mantan panglima yang hadir untuk terus berkongsikan pedoman serta wawasan kepada warga ATM yang masih berkhidmat.

“Marilah kita sama-sama berganding memastikan angkatan keramat ini dapat terus unggul sebagai Perisai Kedaulatan Negara,” jelasnya lagi.

Majlis ini diadakan sebagai tanda penghormatan kepada mantan-mantan PAT dan panglima-panglima perkhidmatan atas segala jasa, sumbangan, pengorbanan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada organisasi.

Majlis kemudian diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh PAT dan isteri, Tengku Muhaini Almarhum Sultan Ahmad Shah kepada 30 mantan PAT dan panglima perkhidmatan yang hadir.

Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Rahman Ayob; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan pegawai-pegawai perkhidmatan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply