Home Semasa JAWI diarah kerjasama dengan PDRM siasat himpunan di ibu negara

JAWI diarah kerjasama dengan PDRM siasat himpunan di ibu negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan berhubung perhimpunan dan perarakan di ibu negara, Ahad lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, JAWI selaku pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima laporan serta maklum balas masyarakat berkaitan perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Jabatan ini ingin menasihatkan semua pihak agar akur dan menghormati kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, apa-apa usaha untuk mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan nilai Islam dan fitrah insan adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Pada Ahad lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, kertas siasatan telah dibuka berhubung perarakan itu.

Perhimpunan yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka itu disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Kecil 1955, tambahnya.

Sehingga hari ini, polis memanggil 7 orang terdiri daripada peserta, penceramah, penganjur dan pemerhati perarakan untuk disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 2.30 petang, semalam. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply