Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS pernah berbakti dengan kamu, tapi bila ada kuasa kami dihina – Idris Ahmad

PAS pernah berbakti dengan kamu, tapi bila ada kuasa kami dihina – Idris Ahmad

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai tidak mengenang budi dan jasa PAS ketika dizalimi selepas dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad itu berkata, Anwar semasa 1998 mencari PAS untuk menolongnya selepas dipecat UMNO ketika itu tetapi malangnya selepas berkuasa pelbagai kecaman dan penghinaan dibuat kepada parti tersebut.

“Malam ini kita berkumpul di tempat yang dulu kita cetuskan ucapan reformasi di sini, tapi apa boleh buat bila ada kuasa dia perkecilkan macam-macam kita ini. Tak apa PAS ini hati besar,

“Walaupun kami pernah berbakti dengan kamu, walaupun kami pernah berjasa dengan kamu, walaupun dewan inilah yang mencetuskan reformasi, dewan inilah yang mencetuskan ledakan rakyat,

“Tapi, apabila kamu ada kuasa apa kamu tak kata kepada kami, apa yang kamu tak hina tok guru kami. Rakyat boleh menilai,” katanya ketika berucap selepas majlis solat hajat yang berlangsung di Markaz Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk Pengerusinya, Tan Seri Muhyiddin Yassin.

Majlis solat hajat berkenaan diadakan sebagai sokongan kepada bekas perdana menteri yang akan dituduh di mahkamah esok berhubung penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Hampir 1,000 penyokong dan pemimpin PN hadir majlis berkenaan yang bermula sejak jam 7 petang.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, bacaan Yassin, solat Isyak dan seterusnya solat hajat.

Pada majlis itu juga, Muhyiddin turut berucap dan menegaskan bahawa pendakwaan terhadapnya adalah usaha pihak kerajaan untuk melemahkan PN.

Muhyiddin mengulangi pendiriannya bahawa dia tidak terbabit dengan salah guna kuasa serta penyelewengan dana awam.

Sebaliknya mendakwa ia sebagai satu pendakwaan terpilih untuk melemahkan PN serta memalukannya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply