Home Pertahanan dan Keselamatan Kem Terendak: 489 unit rumah keluarga akan diselenggara – Adly Zahari

Kem Terendak: 489 unit rumah keluarga akan diselenggara – Adly Zahari

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa berusaha menjaga isu kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan mereka dapat menyumbang khidmat bakti mempertahankan kedaulatan negara dengan sebaiknya.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan, sebanyak 489 buah Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di negeri Melaka akan menjalani proses penyelenggaraan pada tahun ini.

Jelasnya, penyelenggaraan tersebut akan melibatkan kuarters di bawah pasukan Markas Garison Terendak, Staf Pangkalan dan 96 Depoh Pangkalan Peluru (DPP) dengan anggaran kos sebanyak RM1.85 juta.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin yang menyatakan apakah langkah yang diambil oleh Kementerian Pertahanan bagi menyelesaikan masalah kuarters tentera yang tidak diselenggara dengan baik khususnya seperti di Melaka, di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu juga menjelaskan, kementeriannya sentiasa melaksanakan penyelenggaraan kepada RKAT sedia ada di seluruh negara bergantung kepada peruntukan tahunan yang diterima.

Jelasnya, 2 agensi pelaksana telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan senggaraan tersebut iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP), Markas ATM.

“Pada tahun 2023, Usul Peruntukan Sementara yang dibentangkan semasa Sidang Parlimen pada Disember 2022 lalu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM58.9 juta,

“Baki peruntukan bagi senggaraan tahun 2023 ianya bergantung kepada kelulusan Pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023 ini,” jelasnya lagi.

Tambahnya, ketika ini MINDEF sedang menyusun semula model-model penyelenggaraan supaya segala pembaikan rumah keluarga tersebut dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.

“Penyelenggaraan rumah keluarga tentera ini merupakan tanggungjawab MINDEF dan dalam kita melaksanakan penyelenggaraan ini terdapat 2 kaedah yang diguna pakai iaitu secara pembaikan dan pencegahan,

“Sebelum ini kebanyakkan selenggaraan itu dilakukan secara baik pulih, sedangkan penyelanggaraan secara pencegahan amat kurang dilaksanakan. Jadi sebab itu, MINDEF kini sedang menyusun semula model-model penyelenggaraan ini supaya kita boleh memastikan RKAT dapat diselenggarakan dengan baik,” ujarnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?