KUALA LUMPUR, 30 Jan – Mahkamah Luxembourg bersetuju untuk mengetepikan perintah penahanan yang diminta oleh mereka yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu kerana pihak yang menuntut secara sukarela itu tidak mendedahkan alamat sebenar mereka.
Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Datuk Seri Azalina Said Othman dalam satu kenyataan berkata, mahkamah menganggap suruhanjaya ini penting dan menjejaskan Malaysia.
“Mahkamah mendapati kelakuan pihak yang menuntut menghalang penyampaian dokumen dan penguatkuasaan kemungkinan penghakiman yang akan diberikan terhadap mereka,
“Penuntut telah secara konsisiten menggunakan tipu daya dalam tuntutan mereka terhadap Malaysia. Oleh itu, adalah tidak mengejutkan permohonan mereka telah gagal di peringkat awal,”katanya lagi.
Mahkamah Luxembourg telah membuat keputusan pada 24 Januari lalu dengan membatalkan perintah awal yang membenarkan pihak yang menuntut untuk merampas 2 syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.
Perintah penahanan berasaskan ‘Final Award’ dan ‘Preliminary Award’ itu dikemukakan beberapa individu yang mendakwa mereka kononnya sebagai waris kepada Sultan Sulu.
Ia dikeluarkan penimbang tara, Dr. Gonzalo Stampa tahun lepas masing-masing pada 28 Februari dan 25 Mei 2022 lalu yang mengiktiraf award dikatakan tersebut di Luxembourg.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, Malaysia sudah dengan serta-merta bertindak dan sesi pendengaran permohonan itu berlangsung pada 5 Disember lalu di negara tersebut.
“Malaysia kini sedang mengambil tindakan untuk mencabar perintah Exequatur yang dikeluarkan secara ex-parte ke atas tuntutan individu yang mendakwa waris Sultan Sulu itu,
“Malaysia sudah dengan serta-merta bertindak dan sesi pendengaran permohonan itu berlangsung pada 5 Disember lalu di negara tersebut,
“Mahkamah Luxembourg sudah menerima hujahan pihak kerajaan Malaysia bahawa penuntut itu dengan sengaja tidak pernah mendedahkan alamat sebenarnya,” jelasnya lagi.
Tegasnya, kerajaan Malaysia, tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan serta kekebalan kedaulatan Malaysia pada sepanjang masa, malah terus mengambil tindakan perlu bagi menghentikan segala tuntutan palsu daripada penuntut berkenaan.-airtimes.my