Home Pertahanan dan Keselamatan Tahun 2023 masa untuk TLDM nilai semula, bermuhasabah untuk maju ke hadapan

Tahun 2023 masa untuk TLDM nilai semula, bermuhasabah untuk maju ke hadapan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob hari ini menegaskan tahun 2023 merupakan masa untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan penilaian semula dan bermuhasabah.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan Perintah Ulung Panglima Tentera Laut ke-18 di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.

Menurut beliau, adalah penting untuk TLDM untuk berhenti sejenak bagi menilai semula hasil dan rasional terhadap setiap inisiatif serta program utama yang dilaksanakan selama ini.

“Antara pertimbangan utama dalam penilaian semula yang saya maksudkan ialah memberikan tumpuan kepada aspek peningkatan keupayaan aset utama khususnya Armada dan aset sokongan berkaitan agar kembali selari dengan tugas teras TLDM,

“Pada masa yang sama, dalam membahaskan perkara ini, implikasi kewangan dalam setiap inisiatif dan program hendaklah diperincikan dengan sebaik mungkin agar ia memberikan pulangan yang lebih optimum,” katanya.

Beliau menegaskan penilaian semula tersebut tidak bermakna TLDM akan berhenti dari meneruskan gerak kerja yang telah dipersetujui sebelum ini. Selain itu, Panglima Tentera Laut telah menyatakan  4 Teras TLDM sedia ada adalah tepat, relevan dan diteruskan dengan pengubahsuaian tertentu.

Antara teras yang dimaksudkan adalah Terus memberi keutamaan kepada kesiagaan Armada, Meneruskan Pelan Transformasi TLDM 15-to-5 yang diubahsuai, Meningkatkan integrasi dan sokongan kepada aspek kebersamaan serta mempergiat proses menyediakan sumber manusia.

“Penilaian semula tersebut tidak bermakna TLDM akan berhenti dari meneruskan gerak kerja yang telah dipersetujui sebelum ini”- Panglima Tentera Laut ke-18, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayub. Foto: Air Times/Huda

Menyentuh kesiagaan armada, Abdul Rahman menegaskan  kesiapsiagaan Armada TLDM masih lagi menjadi keutamaan yang tertinggi. Jelasnya, tahap kesiagaan yang tinggi membolehkan TLDM melaksanakan amanah untuk mempertahankan kedaulatan negara.

“Kalimat We exist because of the fleet (Kita wujud kerana armada) haruslah dijadikan pegangan kita untuk mencapai sasaran ‘full mission capable’ (berkeupayaan penuh untuk misi) bagi sebahagian aset utama dan aset sokongan berkaitan,

“Mengambil kira jumlah aset sedia ada berbanding tuntutan operasi semasa, hanya dengan tahap kesiagaan yang tinggi sahaja membolehkan kita mencapai objektif penugasan dengan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Panglima Tentera Laut menyatakan Pelan Transformasi TLDM 15-to-5 tetap diteruskan.

Pelan transformasi ini adalah bertujuan untuk melengkapkan TLDM dengan 55 buah kapal menjelang tahun 2050 bagi menampung keperlua operasi angkatan laut negara.

“Perlu ditegaskan bahawa Pelan Transformasi TLDM 15-to-5 digarap dengan tujuan agar TLDM berupaya untuk terus menunaikan tanggungjawabnya,” katanya.

Dalam pada itu, TLDM akan meneruskan hasrat untuk meningkatkan integrasi dan sokongan kepada aspek kebersamaan. Menurut beliau, aspek ini menjadi satu keperluan dalam semua operasi melibatkan unsur-unsur pertahanan.

“TLDM perlu berganding bahu dengan saudara seperjuangan dari perkhidmatan darat dan udara,

“Malah, tidak menghairankan jika skop kerjasama itu perlu dikembangkan lagi dengan melibatkan agensi atau organisasi lain melalui pendekatakn Whole of Government and Whole of Society (WoGoS),” kata Abdul Rahman.

Selain itu, aspek sumber manusia adalah penting bagi memenuhi keperluan masa hadapan yang diusahakan oleh TLDM. Menurut Abdul Rahman, pelbagai penambahbaikan khususnya terhadap sumber manusia telah diperkenalkan.

“Inisiatif seperti mengemaskini Struktur Laluan Kerjaya dan Pembangunan Standard Kompetensi Tentera Laut adalah bertujuan untuk memastikan TLDM mempunyai warga yang kompeten, berketerampilan serta bersemangat untuk mencapai misi dan visi yang ditetapkan,” jelasnya.

4 teras utama TLDM kekal dan disokong oleh 3 keutamaan. Foto: Air Times/Huda

Dalam pada itu, Panglima Tentera Laut menyatakan terdapat 3 Keutamaan yang perlu diberikan perhatian oleh TLDM bagi mengisi jurang.

“Bagi memantapkan keberhasilannya, 4 Teras ini perlu disokong dengan 3 Keutamaan,” ujar beliau.

Mempergiatkan libat urusan dengan rakan strategik berkaitan merupakan keutamaan pertama TLDM.

Jelas Abdul Rahman, barisan kepimpinan TLDM perlu mempergiatkan libat urus dengan rakan-rakan strategik berkaitan/ Ini membolehkan semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan memahami dengan lebih baik hasrat dan tentang TLDM.

“Libat urus yang berkesan juga terbukti banyak memudahkan cara dan membantu kita mengatasi karenah birokrasi,” ujar beliau.

Keutamaan kedua pula adalam menambah baik proses kerja semasa agar lebih relevan dan efisien.

Menurut Panglima Tentera Laut, adalah menjadi tanggungjawab ini perlu dipikul pada setiap peringkat dalam TLDM bagi memastikan objektif yang dikehendaki dapat dicapai.

Pemerkasaan etos dan etika ketenteraan yang merupakan keutamaan ketiga TLDM adalah perlu bagi mengisi jurang semasa.

Jelas Abdul Rahman, aspek ini akan memberikan kesan negatif sekiranya ianya diabaikan dan kurang diberikan perhatian.

“Saya khuatir keupayaan kita untuk melaksanakan tugasan dalam persekitaran yang unik serta misi yang semakin mencabar akan terhakis,

“Lebih membimbangkan kerana kita sering kali berada dalam situasi di mana kesilapan individu berpotensi mengakibatkan kerosakan terhadap aset bernilai tinggi dan malapetaka kepada ramai anggota lain,” katanya.

Mengakhiri perutusan, Abdul Rahman menyeru kesemua warga Navy People untuk memberikan sepenuh komitmen dan perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada perkhidmatan melebihi diri sendiri.

“Kita juga hendaklah sentiasa menerapkan perasaan sabar, ikhlas dan bersyukur dalam meniti kehidupan harian terutama sebagai seorang anggota TLDM dalam menjulang kalimah Sedia Berkorban demi memartabatkan kedaulatan negara tercinta ini,” kata Panglima Tentera Laut.

Majlis Perutusan Perintah Ulung Panglima Tentera Laut ke-18 telah dihadiri 350 warga Navy People sekitar Lembah Klang dan disiarkan secara langsung ke semua Markas Formasi TLDM di seluruh Malaysia.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali; Panglima Armada Barat, Laksamana Madnya Dato’ Abu Bakar Md Ajis; Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy; dan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy Ithnain. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply