Home Pertahanan dan Keselamatan 6 PATI Myanmar kendali bot nelayan tempatan ditahan

6 PATI Myanmar kendali bot nelayan tempatan ditahan

by Nurulhuda

GEORGETOWN, 27 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang telah menahan 6 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang mengendalikan bot nelayan tempatan di sekitar kawasan perairan Pulau Kendi, semalam.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda APMM telah mengesan sebuah bot nelayan kelac C sedang begerak di kedudukan 114 kilometer barat daya Pulau Kendi kira-kira pukul 12 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan 6 kru warga Myanmar termasuk tekong berumur 21 hingga 32 tahun,

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Abd. Razak berkata, bot serta kesemua kru warga asing itu ditahan termasuk hasil laut kira-kira 500 kilogram (kg) dibawa di Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM bagi siasatan lanjut.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan kepada semua pihak terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“APMM tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada,

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply