Home Politik UMNO setuju sertai Kerajaan Perpaduan, tapi bukan diketuai PN – Ahmad Maslan

UMNO setuju sertai Kerajaan Perpaduan, tapi bukan diketuai PN – Ahmad Maslan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara telah bersetuju untuk menyertai Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Menurut beliau, keputusan dibuat selepas MKT UMNO bermesyuarat hampir 5 jam semenjak malam semalam dan dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“MKT mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dan PN,

“MKT secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” katanya.

Tambah Ahmad Maslan, pihak MKT telah bersetuju bahawa semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU), mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk Kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa yang sama,  MKT turut sebulat suara memberikan sokongan penuh kepada Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan juga Presiden UMNO.

Ahmad Maslan turut menyatakan Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember ini. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply