Home Semasa Banjir: Jumlah mangsa di 2 negeri meningkat, Selangor menurun, 3 kekal

Banjir: Jumlah mangsa di 2 negeri meningkat, Selangor menurun, 3 kekal

by Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Perak meningkat manakala Selangor menunjukkan trend menurun dan tiga negeri iaitu Johor, Kelantan dan Sarawak kekal setakat 8 pagi ini.

Di PAHANG, portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan 347 mangsa banjir masih berada di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Raub pada pagi ini.

PPS Pusat Kegiatan Kemas Gali mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 143 orang diikuti PPS Dewan Serbaguna Kampung Pia (77 orang) dan Sekolah Kebangsaan Tersang (36 orang).

Sementara itu, laman web rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan Sungai Tanum di Chegar Perah, Lipis telah melepasi paras bahaya pagi ini, manakala dua lagi sungai iaitu Sungai Kechau juga di Lipis dan Sungai Serting, Bera kini berada di paras amaran.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan kebanyakan daerah di Pahang termasuk Raub, Lipis dan Bera akan mengalami ribut petir pada petang dan malam ini.

Di PERAK, mangsa banjir meningkat kepada 868 orang daripada 237 keluarga setakat 10 pagi ini berbanding 642 orang daripada 188 keluarga setakat malam tadi.

Kesemua mereka berlindung di 13 PPS termasuk tiga PPS baharu dibuka di Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak di daerah Hilir Perak, Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gantong di daerah Perak Tengah dan Dewan Orang Ramai Kampung Piandang di daerah Kinta.

Beberapa daerah terus merekodkan penurunan mangsa banjir khususnya di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART) Batu 4, SK Changkat Lobak, Sekolah Agama Rakyat Padang serai, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Shahriman Beruas dan Sekolah Agama Rakyat Shafie Batu Hampar.

Di SELANGOR, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor melaporkan setakat 8 pagi tadi jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,625 individu dari 401 keluarga berbanding 1,905 mangsa (471 keluarga) pada tengah malam tadi membabitkan tujuh daerah.

Sebanyak 23 PPS dibuka iaitu enam PPS beroperasi di Sepang; Kuala Selangor, empat PPS; Sabak Bernam, Klang dan Petaling, masing-masing tiga PPS serta Hulu Langat dan Kuala Langat masing-masing dua PPS.

Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kilat kekal 289 orang yang terdiri daripada 72 keluarga masih ditempatkan di lima PPS di tiga daerah yang terjejas iaitu Tangkak, Kluang dan Segamat, setakat 8 pagi ini.

“Seramai 39 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 14 orang masih berada di Dewan Komuniti Tasek, Segamat; manakala hanya tinggal enam orang lagi di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof di Kluang.

“Di Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama Simpang 5 Darat, Tangkak; menempatkan mangsa paling ramai, masing-masing 122 dan 108 orang berikutan banjir termenung,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, hari ini.

JPBD turut memaklumkan, empat sungai berada paras amaran iaitu Sungai Lenik (Ladang Cha’ah) dan Sungai Muar (Kampung Awat), Segamat; Sungai Tangkak (Kampung Seri Makmur), Tangkak; serta Sungai Sembrong (Batu 2 Sembrong), di Batu Pahat.

Di KELANTAN, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jumlah mangsa banjir kekal seramai 1,053 orang daripada 364 keluarga dan ini ditempatkan di enam PPS di Rantau Panjang, Pasir Mas setakat pagi ini.

PPS berkenaan membabitkan SK Tok Deh, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh, Masjid Mukim Padang Licin, SK Gual Periok dan SK Gual Tinggi.

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir kekal 123 orang setakat 7 pagi tadi, yang melibatkan 39 keluarga dari kawasan hujung Jalan Medamit, Limbang.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak kesemua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Medamit di daerah itu.

Di MELAKA, Jumlah mangsa banjir kekal 44 orang membabitkan 10 keluarga pada pagi ini, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka.

Sekretariat itu, dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa terjejas melibatkan penduduk di daerah Alor Gajah yang ditempatkan di satu PPS di Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply