Home Politik Ustaz Kazim beri laluan kepada abang, jaga hubungan keluarga

Ustaz Kazim beri laluan kepada abang, jaga hubungan keluarga

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=AaLiK8qWIsk[/embedyt]

 

IPOH, 6 Nov – Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias memohon maaf kepada para penyokong atau pengundi di Parlimen Larut kerana menarik diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim menjelaskan, keputusannya menarik diri daripada mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah kerana mengikuti amanat arwah ibunya agar tidak bertanding sesama saudara dalam satu Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) demi menjaga keharmonian kekeluargaan.

Jelasnya, beliau telah menyatakan syarat tersebut kepada kepimpinan UMNO pusat ketika beliau ditawarkan untuk menjadi calon.

“Sebelum saya menerima tawaran, pelawaan daripada kepimpinan UMNO negeri dan pusat. Saya menyatakan bahawa saya mempunyai satu prinsip bahawa sekiranya saya bertanding saya tak mahu melibatkan ahli kelaurga dalam satu Parlimen dan DUN,

“Itu saya punya prinsip dan ia diamanahkan oleh arwah ibu saya kepada kami, khususnya kepada saya,” katanya semasa sidang media di Pusat Tahfiz Darul Barakah pada Ahad.

Menurut Ustaz kazim, sebelum bersetuju untuk menjadi calon, beliau juga telah berbincang dengan ahli keluarga mengenai tawaran itu.

Katanya, beliau dan abangnya Datuk Mohd Najmuddin Elias yang menjadi calon Perikatan Nasional (PN) tidak menyedari bahawa masing-masing telah menandatangni watikan dan akujanji daripada parti yang diwakili.

Mohd Najmuddin bertanding di Dewan Undangan Negeri Batu Kurau yang terletak dalam Parlimen Larut.

“Jadi bila bincang sama ada saya yang nak tarik diri atau dia yang hendak tarik diri sehingga maghrib sebelum pengumuman itu. Sebagai adik, sebagai satu keluarga saya beri laluan kepada abang saya untuk bertanding,

“Sebagai seorang adik saya kena hormat dan maklumkan. Sebab itu adalah perjanjian yang saya maklumkan kepada UMNO negeri dan BN. Saya tidak akan bertanding sesama keluarga kerana ia boleh menimbulkan persepsi sesama masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakkan ahli keluarga dan anak murid ibu bapanya berada di Parlimen Larut.

Ustaz Kazim berkata, beliau telah menghantar surat penarikan diri sebagai calon kepada Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum pengumuman dibuat.

Namun, surat tersebut hanya sampai selepas Ahmad Zahid membuat pengumuman pada 2 November lalu.

Dalam masa yang sama, Ustaz Kazim berkata, beliau sudi memenuhi jemputan semua pihak dan parti politik untuk memberi ceramah agama ketika kempen pilihan raya berlangsung.

Namun, dengan syarat ketika ceramah agama disampaikan tidak ada lambang parti yang mengiringinya dan ahli politik tidak membuat ucapan ketika majlis ilmu tersebut berlansung.

Sementara itu, wakil BN, Datuk Zamil Ibrahim yang turut hadir berkata, parti berterima kasih kepada Ustaz Kazim kerana menarik diri lebih awal.

Jelasnya, sekiranya pendakwah bebas itu membuat keputusan menarik diri pada hari pencalonan ia boleh memberi kesan terhadap BN.

“Sekiranya Ustaz Kazim ada niat kotor pada hari Penamaan Calon semalam, pasti ia jadi masalah kepada parti,”ujarnya.

Tegasnya, pihak UMNO Bahagian Larut dan Perak tidak pernah membantah keputusan kepimpinan tertinggi partinya untuk memilih Ustaz Kazim sebagai calon BN pada PRU-15. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply