Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Pulihkan Muafakat Nasional, PAS buat keputusan sebelum hujung minggu ini

Pulihkan Muafakat Nasional, PAS buat keputusan sebelum hujung minggu ini

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Okt – PAS mengambil sikap mengkaji secara mendalam keterbukaan UMNO dalam usaha memulihkan agenda Penyatuan Ummah dan akan membuat keputusan muktamad sebelum hujung minggu ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan ini akan dibuat susulan pertemuan empat mata diantara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 17 September lalu.

“PAS menyambut baik kenyataan Presiden UMNO bertarikh 2 Oktober lalu yang menzahirkan keterbukaan UMNO dan PAS memulihkan agenda Penyatuan Ummah,

“PAS mengulangi komitmen untuk bersama dalam segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam berteraskan Ayat 10 Surah al-Hujurat yang menekankan soal perdamaian di antara orang-orang Islam yang bertelagah dalam sesuatu urusan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, PAS turut menekankan soal penyelesaian sesuatu perkara perlu dirujuk kepada sumber agama Islam iaitu Al-Quran dan Al-Hadith sebagaimana dalam Ayat 59 Surah An-Nisa’ yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu,

“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”

Sesungguhnya perkara di atas juga terkandung secara jelas dan tersurat di dalam Piagam Muafakat Nasional yang telah dimeterai pada 14 September 2019.

“PAS tetap mengharapkan suatu jalinan penyatuan ummah yang sejati dapat direalisasikan antara parti utama Melayu Islam di negara ini dengan mengambil roh dan semangat persaudaraan Islam seperti yang ditunjukkan dalam sirah iaitu antara Aus – Khazraj dan Muhajirin – Ansar yang akhirnya membawa kepada kekuatan dan kegemilangan pemerintahan berteraskan Islam,

“PAS dengan ini mengambil sikap mengkaji secara mendalam keterbukaan UMNO dalam hal ini dan akan membuat keputusan muktamad sebelum hujung minggu ini dengan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudarat (risiko) yang paling ringan,” tegasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply