[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=BAbJ-J7BlSE[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 3 Okt – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, sebanyak 94 peratus Detailed Design (reka bentuk terperinci) untuk Kapal Tempur Persisir (Littoral Combat Ship, LCS) telah disiapkan oleh pihak kontraktor.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, baki 6 peratus yang belum disiapkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) selaku syarikat pembuat adalah membabitkan reka bentuk terperinci yang tidak kritikal iaitu zon kapal permukaan atas air.
“Manakala bagi zon kritikal, reka bentuk terperinci telah siap antara 98 hingga 100 peratus, hampir siap. Ia adalah zon kapal di bawah permukaan air,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Fadhil meminta penjelasan daripada Ikhmal Hisham sama ada masalah reka bentuk terperinci yang berlaku sebelum ini akan menyebabkan pembinaan LCS menjadi lewat berbanding sasaran kerajaan iaitu dalam tempoh 2 tahun ini.
Mengulas lanjut, Ikmal Hisham turut menjelaskan, MINDEF tetap optimis terhadap tempoh waktu selama 2 tahun bagi menyiapkan pembinaan LCS 1 sepenuhnya.
“Tempoh ini realisitik memandangkan selepas fasa mobilisasi selesai pada Disember tahun ini, semua pihak terlibat mempunyai tempoh 14 bulan untuk memastikan kapal siap pembinaan dan berada di permukaan air sebelum menjalani trial seperti Harbour Acceptance Test serta Sea Acceptance Trial,
“Garis masa ini mesti dipatuhi semua pemegang taruh khususnya Boustead Naval Shipyard selaku kontraktor yang dilantik,” ujarnya.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, fasa mobilisasi projek LCS untuk tentera laut selama 6 bulan bermula Jun lalu berjalan lancar selari dengan syor oleh beberapa pihak berkepentingan.
Jelasnya, ia termasuklah termasuk syor daripada Jemaah Menteri, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).
Beliau berkata, banyak perkara telah dilaksanakan dan diselesaikan dalam tempoh 3 bulan pertama fasa tersebut terutama dari sudut komersial dan antara kerajaan dengan kerajaan. -airtimes.my