KUALA LUMPUR, 22 Sept – Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh berjaya menyelamatkan dan membawa pulang seramai 15 orang lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja.
Wisma Putra berkata, kesemua mereka yang diselamatkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 11.50 malam melalui penerbangan AK535 pada Selasa.
“Selain Kemboja, Wisma Putra melalui Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di Laos, Myanmar dan Thailand terus menggiatkan usaha untuk mengesan, menyelamat dan membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di negara terbabit,
“Sehingga 21 September, jumlah keseluruhan laporan kes yang diterima Wisma Putra membabitkan 4 negara tersebut adalah sebanyak 301 kes,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 168 orang mangsa telah berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air.
“Selain itu, 34 orang mangsa sedang ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki 99 orang lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara-negara berkenaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, pihaknya amat prihatin dan memandang serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan ini.
“Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan terus komited dan menggiatkan usaha untuk menyelamatkan para mangsa seterusnya membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat,” tegasnya. -airtimes.my