PASIR PUTEH, 23 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya menahan sebuah bot yang dinaiki 5 nelayan Vietnam selepas didapati menceroboh perairan negara, pada Selasa lalu.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bot dan kru tersebut dikesan oleh Kapal Maritim (KM) AMANAH pada kedudukan 3.5 batu nautika pada jam 8.02 pagi ketika melaksanakan Operasi (Ops) Khas Naga Barat, Ops Khas Kuda Laut dan Ops Damai.
“Bot itu cuba meloloskan diri dari ditahan dengan bertindak agresif dengan membuat pergerakan bahaya serta melepaskan tali yang panjang ke air bagi menghentikan propeller kapal,
“Tindakan nelayan asing berbuat demikian gagal apabila mereka telah dipintas dan pasukan berjaya menahan bot berkenaan di kedudukan 163.8 batu nautika daripada muara Tok Bali,
“Pemeriksaan awal mendapati bot nelayan asing milik Vietnam itu dikendalikan oleh 5 kru termasuk tekong dan mereka gagal menunjukan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia,” katanya.
Menurutnya, semasa pemeriksaan dibuat, tiada hasil ikan berada di atas bot tersebut dan pasukan mensyaki mereka telah memindahkannya ke tempat lain.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan Malaysia,
“Manakala bot disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara; bendera; lokasi laluan; destinasi vesel dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia,
“Bagi kesalahan di atas, kesemua suspek boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (a) iaitu hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong serta RM600 ribu ke atas setiap kru dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Katanya, kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri serta berumur antara 34 hingga 41 tahun dan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, bahan bakar diesel lebih kurang 1,000 liter, peralatan menangkap ikan serta peralatan komunikasi dan navigasi dianggarkan berjumlah RM1.23 juta,” katanya. -airtimes.my

Bot itu cuba meloloskan diri dari ditahan dengan bertindak agresif dengan membuat pergerakan bahaya serta melepaskan tali yang panjang ke air bagi menghentikan propeller kapal